Shah Alam, 11 Mac 2025 – Majlis Berbuka Puasa sempena program IHYA’ Ramadan telah berlangsung dengan penuh kemuliaan di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, UiTM Shah Alam. Majlis ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang berkenan berbuka puasa bersama warga Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Keberangkatan baginda berdua disambut oleh kepimpinan tertinggi UiTM serta para pelajar yang hadir bagi memeriahkan majlis. Acara dimulakan dengan bacaan doa dan tazkirah Ramadan sebelum semua tetamu menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh keberkatan.
Majlis ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UiTM dalam menghidupkan bulan Ramadan dengan aktiviti keagamaan dan kebajikan, selain memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dengan institusi diraja.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah barisan kepimpinan UiTM, pensyarah, serta mahasiswa dan mahasiswi yang berpeluang merasai pengalaman istimewa berbuka puasa bersama DYMM Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor.
Majlis diakhiri dengan solat Maghrib berjemaah sebelum para hadirin meneruskan ibadah tarawih di masjid yang sama.
Sumber : Bahagian Komunikasi Korporat