Segamat, 4 Mac 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) terus komited dalam memperkasakan budaya ilmu dan kecemerlangan organisasi melalui dua program utama yang diadakan hari ini, iaitu Pecutan KPI & PI - Memacu Kecemerlangan serta My Reading Permata.
Program Pecutan KPI & PI, yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 10.00 pagi di PTDI 1, menampilkan Puan Mawar Noor Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan, sebagai penceramah utama. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan setiap warga PTDI dalam memikul amanah Ketua Pustakawan UiTM serta cabaran untuk terus meningkatkan pencapaian Key Performance Indicators (KPI) dan Performance Indicators (PI) sebagai tanda aras keberkesanan perkhidmatan perpustakaan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua staf PTDI Segamat dan Pasir Gudang atas kejayaan mencapai KPI & PI tahun 2024 dengan keputusan memberangsangkan.
Sementara itu, program My Reading Permata, yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi di CGS Trading Room, PTDI 1, disertai oleh warga PTDI sebagai usaha menyahut sasaran 1 Warga 24 Bahan Bacaan Setahun di bawah Pelan Induk University Knowledge Society. Program ini bertujuan menggalakkan tabiat membaca dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan ilmu. Peserta berpeluang membaca bahan pilihan masing-masing dalam suasana santai serta berkongsi pendapat mengenai bacaan mereka.
Kedua-dua program ini mendapat sambutan positif dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. PTDI berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi memperkukuh budaya ilmu dan kecemerlangan dalam kalangan warga universiti.
Pautan hebahan media sosial :My Reading PERMATA Pecutan KPI & PI