Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Repositori MIMA Digital Collection

Kuala Lumpur, 6 Mei 2025 – Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Repositori MIMA Digital Collection telah berlangsung dengan jayanya pada jam 3.30 petang bertempat di pejabat Maritime Institute of Malaysia (MIMA) di Menara HLX, Kuala Lumpur. Majlis ini tamat sekitar jam 5.00 petang dan disertai oleh wakil-wakil daripada Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Perpustakaan MIMA.

Projek pembangunan repositori ini merupakan hasil kolaborasi antara MIMA dan Bahagian Perpustakaan Digital, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM. Ia turut melibatkan pelaksanaan latihan sangkut pustakawan MIMA di Perpustakaan UiTM yang telah dijalankan pada 10 hingga 20 Jun 2024. Hasil daripada latihan dan kerjasama ini, sistem repositori Koleksi Digital MIMA yang boleh diakses di https://mdc.mima.gov.my telah berjaya dibangunkan.

Majlis penyerahan dokumen rasmi projek telah berlangsung sebagai simbolik kepada kejayaan pelaksanaan projek ini. Penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pustakawan UiTM bersama Pengerusi MIMA, Dato' Mohamed Suffian Bin Awang.

Dalam ucapan beliau, Dato' Mohamed Suffian menzahirkan penghargaan kepada pihak UiTM atas kerjasama yang telah terjalin. Beliau turut menyatakan harapan agar hubungan strategik antara kedua-dua institusi ini dapat diteruskan menerusi program kerjasama lain pada masa akan datang, khususnya dalam memperluas penyebaran fungsi, peranan dan koleksi MIMA sebagai rujukan penting dalam bidang berkaitan maritim.

Menariknya, Dato’ Mohamed Suffian turut berkongsi bahawa beliau merupakan alumni UiTM dan aktif dalam sukan ragbi semasa zaman pengajian beliau. Katanya, kerjasama ini amat bermakna bukan sahaja dalam konteks profesional, tetapi juga secara peribadi kerana dapat kembali menjalin hubungan dengan alma mater beliau.

Pihak MIMA juga merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen dan kepakaran yang telah dikongsi oleh Perpustakaan UiTM dalam menjayakan pembangunan repositori digital ini. Diharapkan lebih banyak peluang kolaborasi seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang demi manfaat bersama.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.