Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Festival Budaya Ilmu @PTA 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Jun 2026 bertempat di Perpustakaan Tengku Anis. Penganjuran festival ini membawa tema “Budaya Ilmu, Warisan Kita, Masa Depan Bersama” selaras dengan usaha memperkukuh pembudayaan ilmu, pemerkasaan literasi maklumat serta penghargaan terhadap khazanah ilmu dan warisan institusi. Festival ini menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk pameran, bengkel, webinar, perkongsian ilmu dan sesi interaksi bersama warga universiti serta komuniti. Program ini turut menjadi platform bagi mengetengahkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, rujukan dan pemeliharaan rekod sejarah universiti. Sepanjang pelaksanaan festival ini, pelbagai program yang dianjurkan telah mendapat sambutan menggalakkan dengan merekodkan sebanyak 22,562 tontonan siaran langsung serta 5,253 penyertaan secara keseluruhan, sekali gus mencerminkan keberkesanan platform perkongsian ilmu yang disediakan dalam memperluaskan capaian kepada warga universiti dan komuniti.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang festival seperti berikut:
1.Pameran Hari Arkib Antarabangsa: Arkib ITMCK × UiTMCK
Sempena sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026, Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Pameran Hari Arkib Antarabangsa: Arkib ITMCK × UiTMCK yang berlangsung dari 21 hingga 23 Jun 2026 bertempat di Perpustakaan Tengku Anis. Pameran ini diadakan bertujuan untuk mengetengahkan perjalanan sejarah serta evolusi Institut Teknologi MARA Cawangan Kelantan (ITMCK) yang ditubuhkan pada tahun 1985 di Kem Kijang sehingga berkembang menjadi Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) seperti yang dikenali pada hari ini.









Melalui pameran ini, para pengunjung berpeluang menelusuri pelbagai koleksi arkib yang merangkumi gambar-gambar bersejarah, dokumen rasmi, penerbitan serta memorabilia yang merakam detik-detik penting dalam pembangunan institusi dari era ITM ke UiTM, di samping mengimbau memori serta kenangan lampau warga kampus terhadap perjalanan dan perkembangan institusi dari semasa ke semasa.
2. Pameran Ilmu Ukur, Teknikal & Rekod (Pelan)
Pameran ini memaparkan bahan berkaitan ilmu ukur, pemetaan, rekod pelan serta dokumen hak milik tanah. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Machang bersempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2026.Pameran ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga UiTM serta pengunjung yang hadir untuk melihat dan mengenali dengan lebih dekat bidang ilmu ukur, pemetaan serta pengurusan rekod dan pelan tanah. Pelbagai bahan pameran dan peralatan ukur moden turut dipamerkan bagi memberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi dalam bidang pengukuran dan pengurusan tanah. Pameran ini telah dijalankan selama 3 hari pada 21-23 Jun 2026.









Melalui pameran ini, para pengunjung berpeluang memperoleh maklumat berkaitan pengurusan rekod pelan, dokumen hak milik tanah serta peluang kerjaya dalam bidang yang berkaitan. Program ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan rekod dan arkib sebagai sumber rujukan yang bernilai kepada masyarakat.
3. Program Telaah: Menakluk Puncak Dunia: Kepimpinan, Ketahanan dan Transformasi Diri
Program telaah ini telah menampilkan YBhg. Datuk Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Pengerusi Eksekutif RMJ Nexus Global Sdn. Bhd. dan Naib Canselor (2021–2023), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi sesi perkongsian buku Menakluk Puncak Dunia (MPD), sebuah buku yang menghimpunkan naratif beliau sewaktu menjawat jawatan Naib Canselor UiTM Ke-6 bersama warga UiTMCK di Perpustakaan Tengku Anis yang dijalankan secara hibrid di Bilik Seminar dan siaran langsung menerusi saluran YouTube Perpustakaan Tengku Anis pada 21 Jun 2026.
Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan mencatatkan 856 tontonan di YouTube serta 496 penyertaan secara keseluruhan, sekali gus menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan warga universiti terhadap perkongsian ilmu tersebut.





Buku “Menakluk Puncak Dunia: Sentuhan Srikandi” adalah sebuah karya inspirasi yang merakam perjalanan YBhg. Datuk Roziah Mohd Janor, seorang figura yang telah meninggalkan jejak mendalam dalam dunia pendidikan tinggi Malaysia. Melalui naratif yang santai, buku ini mengungkapkan transformasi yang dicetuskan oleh beliau dalam aspek pengurusan akademik, pengurusan kualiti, strategi pentadbiran, dan pembangunan institusi.
4. Bengkel Pengurusan Fail & Rekod kepada PRJ dan PTRJ UiTM Cawangan Kelantan
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Bengkel Pengurusan Fail dan Rekod pada 22 Jun 2026 (Isnin) secara dalam talian melalui platform Google Meet. Bengkel ini melibatkan penyertaan Pegawai Rekod Jabatan (PRJ) dan Pembantu Tadbir Rekod Jabatan (PTRJ) UiTM Cawangan Kelantan sebagai usaha memperkukuhkan pengetahuan serta amalan pengurusan fail dan rekod yang lebih sistematik di peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ). Program ini telah disertai seramai 319 peserta daripada semua kampus cawangan UiTM yang lain.



Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Puan Azniza Mohamad Nor, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Arkib Universiti, Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Shah Alam. Sepanjang bengkel berlangsung, peserta telah diberikan pendedahan berkaitan kaedah pengurusan fail dan rekod yang berkesan, tatacara pengendalian rekod rasmi serta peranan dan tanggungjawab PRJ dan PTRJ dalam memastikan pengurusan rekod di peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) dilaksanakan dengan baik.
5. Live Webinar: Keusahawanan Graduan – Mencipta Peluang, Memperkasa Komuniti
Perpustakaan Tengku Anis (PTA) dengan kerjasama Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED) UiTM Cawangan Kelantan serta Perpustakaan Tengku Anis Readers’ Club (PTARC) telah menganjurkan Live Webinar: Keusahawanan Graduan – Mencipta Peluang, Memperkasa Komuniti pada 22 Jun 2026 (Isnin) menerusi saluran YouTube Perpustakaan Tengku Anis.





Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Encik Ahmad Syakir Junoh@Ismail, Felo Bersekutu, Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) merangkap Pensyarah, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP), Universiti Malaysia Kelantan. Beliau berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan kepentingan membudayakan keusahawanan dalam kalangan graduan, strategi membangunkan idea perniagaan serta peluang yang boleh diterokai dalam bidang keusahawanan. Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan mencatatkan 5,774 tontonan serta 1,287 penyertaan keseluruhan.
6. Perkongsian “Greenation & Sustainability: Memacu Regenerasi Kampus Hijau ke Arah Pencapaian SDG UiTM”
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama UiTM Green Centre (UGC) dan Perpustakaan Tengku Anis Readers’ Club (PTARC) telah menganjurkan sesi perkongsian “Greenation & Sustainability: Memacu Regenerasi Kampus Hijau ke Arah Pencapaian SDG UiTM” pada 22 Jun 2026 (Isnin) secara dalam talian melalui platform Google Meet dan telah disertai seramai 940 peserta.



Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Khairi Khalid, Pengarah UiTM Green Centre (UGC) dan dikendalikan oleh Ts. Emilia Abdul Manan, Pensyarah Kanan, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan sebagai moderator dan bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti berkaitan kelestarian, regenerasi kampus hijau serta peranan warga UiTM dalam menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG UiTM). Perkongsian yang disampaikan memberi pendedahan berkaitan amalan kelestarian dan usaha memperkukuhkan budaya hijau dalam komuniti kampus.
7. Bicara Alumni “Dari Graduan ke Pentadbir: Perjalanan Kerjaya dalam Sektor Awam”
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan Sesi 2025/2026 dan Perpustakaan Tengku Anis Readers’ Club (PTARC) telah menganjurkan Program Bicara Alumni: “Dari Graduan ke Pentadbir: Perjalanan Kerjaya dalam Sektor Awam” pada 23 Jun 2026 secara langsung menerusi Saluran YouTube Rasmi Perpustakaan Tengku Anis.
Program ini menampilkan YBrs. Tuan Haji Mohd Khairil Hazmie Yusof, Setiausaha Majlis Daerah Tanah Merah sebagai panel jemputan yang berkongsi pengalaman, cabaran serta persediaan penting untuk membina kerjaya dalam sektor awam. Sesi ini dikendalikan oleh Muhammad Faris Faisal, Naib Yang Dipertua MPP UiTM Cawangan Kelantan Sesi 2025/2026.






Siaran langsung program ini menerima sambutan memberangsangkan dengan mencatatkan 15,932 tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan keberkesanan platform digital dalam memperluaskan perkongsian ilmu. Diharapkan program ini dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada mahasiswa dalam merancang hala tuju kerjaya yang lebih jelas dan berdaya saing.
8. Bengkel Jom Celik Maklumat
Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Muhammad Azrul Nizam Abdul Rahman, Pustakawan Perpustakaan Tengku Anis. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada warga UiTM mengenai kaedah pencarian maklumat yang lebih efektif serta penggunaan Sistem PERMATA 2.0 secara optimum bagi memudahkan akses kepada pelbagai sumber maklumat yang disediakan oleh perpustakaan. Bengkel telah dijalankan pada 23 Jun 2026 (Selasa) secara dalam talian melalui platform Google Meet. Bengkel ini telah disertai seramai 247 peserta daripada semua warga UiTM Cawangan Kelantan.


Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta didedahkan dengan fungsi-fungsi utama Sistem PERMATA 2.0, teknik pencarian maklumat yang berkesan, serta kaedah memanfaatkan kemudahan sistem bagi menyokong keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan. Sesi turut disertai dengan demonstrasi penggunaan sistem dan soal jawab bagi meningkatkan kefahaman peserta.
Majlis Perasmian Penutupan Festival Budaya Ilmu
Majlis Perasmian Penutupan Festival Budaya Ilmu 2026 telah diadakan pada 23 Jun 2026 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan Tengku Anis sebagai penutup kepada rangkaian program ilmiah yang telah dilaksanakan sepanjang festival tersebut. Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Nordelina Zulkarnain, Ketua Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan yang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Festival Budaya Ilmu 2026.
Seterusnya, majlis diserikan dengan ucapan perasmian penutup oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan sokongan terhadap usaha memperkasa budaya ilmu dalam kalangan warga universiti melalui pelbagai program ilmiah yang dilaksanakan secara berterusan.



Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj program sepanjang Festival Budaya Ilmu serta gimik pelancaran Kempen 1 Warga 24 Buah Buku, yang bertujuan menggalakkan budaya membaca dalam kalangan warga kampus. Sebagai tanda penghargaan, sesi penyampaian cenderamata telah diadakan kepada wakil Pejabat Tanah dan Jajahan Machang selaku rakan kolaborasi, serta kepada YBrs. Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani atas kesudian merasmikan majlis penutupan tersebut.



Sejurus selepas majlis perasmian, para tetamu telah dibawa mengadakan lawatan ke pameran yang disediakan oleh Unit Arkib Cawangan serta Pejabat Tanah dan Jajahan Machang yang berlangsung di luar Bilik Seminar Perpustakaan Tengku Anis.





Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang