Program CSR Vitamin Ilmu Siri 6: “Create Like a Pro: From Idea to Visual” – Design Made Easy with Canva

MACHANG, 22 Julai – Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan dan SMK Pangkal Meleret, Machang telah menganjurkan Program CSR Vitamin Ilmu Siri 6: “Create Like a Pro: From Idea to Visual” – Design Made Easy with Canva bertempat di Bilik IT, Perpustakaan Tengku Anis.

Program yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu bertujuan memperkasa kemahiran digital serta kreativiti pelajar dalam menghasilkan bahan visual yang menarik dan berkesan menggunakan aplikasi Canva.

Program tersebut telah disampaikan oleh Ts. Inv. Mohd Zafian Bin Mohd Zawawi, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan, dengan dibantu oleh Puan Norfitriah Mat Seman, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Tengku Anis selaku fasilitator.

Sepanjang program, para peserta didedahkan kepada asas penggunaan Canva merangkumi pemilihan templat, penggunaan elemen grafik, tipografi, pemilihan warna serta prinsip asas reka bentuk bagi menghasilkan poster, slaid pembentangan, infografik dan kandungan media sosial yang kreatif serta berkualiti.

Selain sesi perkongsian ilmu, peserta turut mengikuti latihan amali secara hands-on yang membolehkan mereka mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari dengan menghasilkan reka bentuk menggunakan kreativiti masing-masing di bawah bimbingan penceramah dan fasilitator. Pendekatan interaktif ini memberi peluang kepada peserta untuk meneroka pelbagai fungsi Canva serta menghasilkan reka bentuk yang memenuhi keperluan pembelajaran dan komunikasi digital.

Penganjuran program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi digital dalam penghasilan bahan visual, malah membantu meningkatkan keyakinan dan kemahiran pelajar dalam menghasilkan bahan komunikasi yang lebih profesional bagi menyokong pembelajaran, tugasan akademik dan aktiviti kokurikulum.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply