Budaya Ilmu Diperkasa Melalui Jom Baca 10 Minit

Program Jom Baca Bersama 10 Minit 2026 telah dilaksanakan pada 23 April 2026 (Khamis) di Perpustakaan Tengku Anis, dari jam 11.00 pagi hingga 11.10 pagi. Program ini merupakan inisiatif galakan membaca yang berperanan sebagai pemangkin kepada usaha memperkasa budaya ilmu dalam kalangan warga kampus.

Pelaksanaan program ini memberi penekanan kepada pembentukan amalan membaca secara konsisten sebagai asas kepada pengukuhan budaya ilmu. Sepanjang tempoh tersebut, para peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar telah bersama-sama meluangkan masa membaca bahan pilihan masing-masing dalam suasana yang tenang dan kondusif, sekali gus menyemai nilai kecintaan terhadap ilmu pengetahuan.

Selesai sesi bacaan, program diteruskan dengan aktiviti resensi buku yang memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi secara ringkas isi kandungan, pengajaran serta pandangan terhadap bahan yang telah dibaca. Aktiviti ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman, malah menyokong perkembangan budaya ilmu melalui perkongsian pengetahuan serta peningkatan kemahiran komunikasi.

Program ini juga membuka ruang kepada warga kampus untuk seketika menghentikan rutin harian dan mengisi masa dengan aktiviti intelektual yang bermanfaat. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan warga kampus dalam memperkasa dan membudayakan ilmu melalui amalan membaca.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply