PTA Cemerlang di Majlis Kemuncak Hari Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan 2025

Machang, 12 April 2026 – Majlis Kemuncak Hari Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kelantan 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada Ahad bertempat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan. Majlis berprestij ini dianjurkan sebagai platform penghargaan kepada warga universiti yang menunjukkan kecemerlangan dalam perkhidmatan, inovasi serta komitmen tinggi dalam memperkukuh kualiti penyampaian organisasi.

Majlis tersebut turut berperanan sebagai medium pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian staf dalam pelbagai kategori anugerah. Inisiatif ini bukan sahaja meraikan kejayaan yang telah dicapai, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh warga universiti untuk terus berusaha mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Perpustakaan Tengku Anis (PTA) turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila beberapa orang stafnya telah menerima anugerah dalam majlis tersebut. Bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, penerima terdiri daripada Puan Norfitriah Mat Seman (Pustakawan Kanan), Puan Nor Azrina Hasbullah (Pembantu Pustakawan Kanan) serta Y.M. Tengku Azlimi Tengku Ab Razah (Pembantu Pustakawan Kanan).

Selain itu, Encik Mohd Zalani Mhd Zin (Pembantu Pustakawan Kanan) telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Staf Contoh 2025. Lebih membanggakan, Bahagian Perpustakaan Tengku Anis turut muncul sebagai Johan bagi Anugerah Khas Rektor Kampus (AKRK) 2025 (Bahagian).

Kejayaan ini membuktikan komitmen tinggi warga PTA dalam memberikan perkhidmatan berkualiti serta menyumbang secara aktif kepada kecemerlangan universiti. Diharapkan pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang dinamik dan relevan.

Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply