Ceramah Kesihatan: Prihatin Hari Ini, Selamatkan Nyawa Esok

KOTA BHARU, 19 Februari – Satu program Ceramah Kesihatan bertajuk “Prihatin Hari Ini, Selamatkan Nyawa Esok” telah diadakan pada 16 Februari 2026, jam 10.00 pagi di Dewan Latihan UiTM Kampus Kota Bharu, bagi meningkatkan kesedaran warga kampus mengenai kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya berkaitan penyakit kronik dan pencegahan awal. Ceramah ini merupakan anjuran bersama Perpustakaan Tengku Anis dan Unit Kesihatan UiTM Kampus Kota Bharu dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu. 

Program ini menampilkan dua orang penceramah jemputan iaitu Dato’ Dr. Imi Sairi Ab. Hadi, Pakar Kanser Payudara dan Tiroid, serta Dr. Roshana Mohamed Yasin, Pakar Perunding Perubatan Keluarga. Kedua-dua pakar telah berkongsi maklumat berkaitan pengesanan awal kanser, kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala serta amalan gaya hidup sihat bagi mencegah penyakit berbahaya.

Menurut pihak penganjur, program ini diadakan sebagai usaha proaktif untuk mendidik masyarakat kampus supaya lebih prihatin terhadap kesihatan mereka, selaras dengan kepentingan pencegahan awal dalam mengurangkan risiko penyakit serius seperti kanser.

Melalui ceramah ini, para peserta bukan sahaja memperoleh ilmu kesihatan yang berguna, malah turut diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar bagi mendapatkan nasihat serta maklumat yang tepat. Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang lebih peka, berpengetahuan dan bertanggungjawab terhadap kesihatan diri demi kesejahteraan masa hadapan.

Disediakan oleh:  Mohd Anuar Bin Azmin, Pembantu Pustakawan Kanan PTA UiTMCK Kampus Kota Bharu

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Kota Bharu

Leave a Reply