Bengkel Speed Reading ini telah diadakan pada 10 Februari 2026 dan merupakan salah satu inisiatif literasi maklumat oleh Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan, yang bertujuan memperkenalkan kaedah bacaan pantas berasaskan modul yang dibangunkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam.
Program berdurasi dua jam ini bermula pada jam 11.00 pagi dan telah dirasmikan oleh Tuan Syeikh Pondok, Tuan Guru Ustaz Haji Mohammad Aziz bin Che Man. Dalam ucapan perasmian, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha memperkasa kemahiran membaca dalam kalangan pelajar pondok, khususnya teknik yang mampu meningkatkan tahap tumpuan dan kefahaman bacaan.



Sesi bengkel telah dikendalikan oleh Puan Rosmariyati Ab Rahman, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP), selaku fasilitator bertauliah bagi kaedah Speed Reading PTAR. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan dengan teknik asas bacaan pantas, latihan ringkas serta perkongsian tip yang boleh diaplikasikan dalam pembacaan kitab, teks akademik dan bahan bacaan harian.



Maklum balas peserta adalah sangat positif. Bukan sahaja para pelajar menunjukkan minat yang tinggi, malah tenaga pengajar turut teruja dengan perkongsian ilmu yang bersifat praktikal dan mudah diaplikasikan. Suasana bengkel berlangsung secara aktif dengan sesi soal jawab serta latihan interaktif.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya mencapai objektif sebagai satu usaha meningkatkan kemahiran membaca serta memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan warga Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (PPPYIK).


Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang