Pada 30 Januari 2026 (Jumaat), telah diadakan satu program perkongsian kepimpinan bersama Ketua Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan, iaitu Puan Nordelina Zulkarnain bertempat di Dewan Gemilang, SM Sains Pasir Puteh. Program ini telah dihadiri seramai 52 orang pelajar yang terdiri daripada Pengawas Pusat Sumber Sekolah.


Program perkongsian ini telah berlangsung selama lebih kurang satu jam dengan memfokuskan kepada topik asas kepimpinan. Antara kandungan utama yang telah dibincangkan ialah peranan Pengawas Pusat Sumber sebagai jawatan atau amanah, ciri-ciri pemimpin dan kepimpinan yang baik, kompetensi Pengawas Pusat Sumber (PPS) dalam menerajui transformasi AiRA Pusat Sumber Digital, implikasi terhadap organisasi sekiranya amanah dan tanggungjawab gagal dilaksanakan, serta refleksi diri sebagai pemimpin pelajar.


Secara keseluruhannya, program ini telah mendapat respon yang sangat positif daripada para peserta. Mereka menunjukkan tahap kefahaman dan motivasi yang tinggi serta bersemangat untuk berperanan sebagai tulang belakang dalam membantu guru Pusat Sumber dan Media serta pihak sekolah bagi menjayakan pelan transformasi Pusat Sumber Aisyah Humaira ke AiRA Digital Library. Program ini diharapkan dapat melahirkan barisan Pengawas Pusat Sumber yang berwibawa, berintegriti dan bersedia memikul amanah kepimpinan selari dengan keperluan pendidikan digital masa kini.

Disediakan oleh: Nordelina Zulkarnain, Timbalan Ketua Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang