Merbok, 12 November 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah telah menganjurkan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu: Siri 11 bertempat di Sudut IT, Perpustakaan Sultan Badlishah. Program yang berlangsung dari jam 3.30 petang hingga 4.30 petang ini merupakan salah satu inisiatif berterusan perpustakaan untuk menyemarakkan budaya perkongsian ilmu dalam kalangan warga kerja. Seramai 17 orang staf hadir menyertai sesi ini yang bertujuan memupuk suasana kerja yang kolaboratif, meningkatkan profesionalisme serta mengukuhkan kemahiran teknikal dan komunikasi warga perpustakaan. Usaha ini juga selaras dengan objektif perpustakaan untuk menjadikan perkongsian ilmu sebagai sebahagian daripada DNA organisasi di UiTM.

Perkongsian dari Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir, Pustakawan Kanan
Siri kali ini menampilkan Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir sebagai penyampai dengan tajuk perkongsiannya, “Asas Pengucapan Awam”. Dalam sesi yang berlangsung selama satu jam, beliau menghuraikan kepentingan pengucapan awam sebagai kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh setiap individu dalam dunia profesional mahupun kehidupan seharian. Encik Amiruddin turut menekankan bahawa pengucapan awam bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi merupakan kemampuan mempengaruhi, meyakinkan serta mencipta hubungan positif dengan audiens. Antara aspek yang disentuh ialah kepentingan persediaan awal, penguasaan struktur penyampaian, penggunaan bahasa badan secara efektif, pengurusan keyakinan diri, teknik interaksi bersama audiens serta penggunaan alat bantu seperti slaid dan video pendek bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian.





Secara keseluruhannya, Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 11 memberikan manfaat besar kepada para peserta, khususnya dalam meningkatkan keyakinan ketika berucap di hadapan khalayak. Asas pengucapan awam yang dikongsikan bukan sahaja membantu staf mengatasi rasa gugup, malah membolehkan mereka tampil lebih tersusun, profesional dan meyakinkan dalam penyampaian maklumat. Program ini sekali lagi membuktikan komitmen Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperkukuh budaya ilmu serta memantapkan kompetensi warga kerja melalui perkongsian berimpak tinggi.
Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan