Merbok – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah berjaya melaksanakan Program Literasi Maklumat bersama pelajar Semester 1 hingga 3 pada 9 dan 16 November 2025. Program yang dijalankan di Dewan Perdana ini merupakan inisiatif penting dalam memperkasakan kemahiran penyelidikan dan penggunaan maklumat dalam kalangan pelajar baharu. Usaha ini turut menyokong hala tuju Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025 khususnya berkaitan KPI 5 (Bilangan Penyertaan Program Budaya Ilmu) dan PI 9 (Bilangan Penyertaan Program Literasi Maklumat). Melalui program ini, PSB berperanan memperkenalkan perkhidmatan perpustakaan, perkhidmatan digital, serta kepentingan akses kepada sumber akademik yang sahih dan berkualiti.





Program Literasi Maklumat – 09 November 2025
Program bagi kedua-dua sesi tersebut telah dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan Unit Perkhidmatan Perpustakaan. Seramai 305 orang pelajar telah menyertai sesi taklimat yang merangkumi pelbagai pengisian seperti pengenalan perpustakaan, strategi pencarian maklumat, penggunaan pangkalan data PERMATA, teknik penilaian sumber, kaedah referencing dan citation, serta penerangan mengenai etika maklumat termasuk isu plagiarism. Pendekatan interaktif dan penerangan yang tersusun telah membantu pelajar memahami kepentingan literasi maklumat sebagai kemahiran asas dalam pengajian tinggi. Selain itu, pendedahan ini memberi nilai tambah kepada pelajar dalam menyempurnakan tugasan, meningkatkan keberkesanan pencarian maklumat serta menyokong aktiviti penyelidikan.





Program Literasi Maklumat – 16 November 2025
Secara keseluruhannya, Program Literasi Maklumat ini telah mencapai objektif penganjuran dengan memberi impak positif kepada pembangunan akademik pelajar UiTM Cawangan Kedah. Melalui pemahaman yang lebih baik tentang strategi pencarian dan penggunaan maklumat secara beretika, pelajar kini lebih bersedia menghadapi keperluan pembelajaran abad ke-21. Program ini juga memperkukuh peranan Perpustakaan Sultan Badlishah sebagai pusat sokongan ilmu yang relevan, dinamik dan proaktif dalam meningkatkan kompetensi pelajar. Inisiatif seperti ini diyakini dapat melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing, kreatif dan mampu membuat keputusan akademik yang tepat serta menyumbang kepada budaya pembelajaran sepanjang hayat.
Penulis: Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan