Unit Arkib Cawangan (UAC), Perpustakaan Tengku Anis (PTA) telah menganjurkan Sesi Kelas Pengajaran Kolaboratif dan Libat Urus bersama pelajar Semester Lima Diploma Pengurusan Maklumat (CDIM110) dari Fakulti Sains Maklumat (FSM) bagi kursus Foundation of Archives (IMD313). Program ini telah dijalankan secara berperingkat melibatkan tujuh kelas, mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan, bertempat di Bilik IT, Perpustakaan Tengku Anis (PTA).
Objektif utama penganjuran program ini ialah untuk memberi pendedahan dan kefahaman mendalam kepada para pelajar mengenai konsep, kepentingan, serta pelaksanaan pengurusan rekod dan arkib dalam sesebuah organisasi. Melalui sesi ini, pelajar berpeluang menghubungkan teori akademik dengan situasi sebenar operasi pengurusan arkib di peringkat institusi.
Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Arkib, Puan Norfitriah Mat Seman (Pustakawan Kanan), bersama sokongan tenaga kerja Unit Arkib iaitu Encik Muhamad Nazari Muhamad Nor, Encik Mohd Waqiyuddin Mohd Dzulkifly, Encik Mohd Ridzuan Ramli dan Encik Zul Abdullah (Pembantu Pustakawan Kanan).





Antara kandungan utama sesi taklimat merangkumi:
- Fungsi dan peranan Unit Arkib Cawangan dalam sistem pentadbiran universiti.
- Kategori dan jenis rekod yang perlu disimpan serta tempoh penyimpanan.
- Prosedur pelupusan rekod rasmi mengikut peraturan universiti.
- Kaedah pendigitalan rekod dan penggunaan peralatan berkaitan.
- Proses pemuliharaan bahan arkib yang berisiko rosak.
- Amalan keselamatan dan kawal selia dalam pengurusan rekod.
Selain taklimat teori, sesi lawatan berpandu ke ruang penyimpanan rekod dan bengkel kerja pendigitalan turut dijalankan. Melalui lawatan ini, pelajar berpeluang menyaksikan secara langsung keadaan bilik simpanan rekod, sistem susunan bahan, serta demonstrasi penggunaan mesin dan peralatan pemeliharaan. Sesi ini memberi pengalaman pembelajaran berasaskan amali, sekaligus meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aplikasi sebenar pengurusan arkib.









Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Fakulti Sains Maklumat dan Perpustakaan Tengku Anis, malah membantu memperkaya pengetahuan serta kemahiran pelajar dalam bidang pengurusan maklumat.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan mampu menjadi platform pembelajaran berterusan dalam usaha melahirkan graduan yang berpengetahuan, kompeten serta bersedia menghadapi keperluan kerjaya dalam bidang pengurusan rekod dan arkib.







Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang