Merbok, 19 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah sekali lagi mencipta sejarah apabila kumpulan Luminous berjaya dinobatkan sebagai Finalis Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UiTM 2025. Kejayaan ini merupakan hasil dedikasi dan inovasi luar biasa yang ditonjolkan oleh kumpulan tersebut dalam memperkenalkan penyelesaian kreatif bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan perpustakaan. Melalui proses pemilihan yang kompetitif di peringkat zon utara, Kumpulan Luminous berjaya menonjol di antara kumpulan lain dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat akhir bersama 20 finalis terbaik yang mewakili setiap zon UiTM seluruh Malaysia.
Pencapaian ini menandakan satu pengiktirafan besar terhadap komitmen Perpustakaan Sultan Badlishah dalam mengamalkan budaya kerja berteraskan inovasi, kualiti, dan kecemerlangan. KIK UiTM merupakan platform utama universiti dalam menghargai idea-idea kreatif dan projek berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada peningkatan sistem pengurusan dan perkhidmatan universiti. Kejayaan Kumpulan Luminous membuktikan kemampuan UiTM Cawangan Kedah untuk bersaing di peringkat nasional melalui hasil kerja yang berkualiti tinggi dan berpotensi besar untuk diaplikasikan secara meluas dalam ekosistem UiTM.
Seluruh warga UiTM Cawangan Kedah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pencapaian gemilang ini. Kejayaan Kumpulan Luminous ke peringkat akhir menjadi sumber inspirasi kepada semua staf untuk terus berinovasi dan mengekalkan kecemerlangan dalam kerja seharian. Semoga kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh dan membawa pulang anugerah tertinggi dalam Final KIK UiTM 2025. Pengiktirafan ini bukan sekadar satu kejayaan, tetapi bukti nyata bahawa UiTM Cawangan Kedah terus komited dalam menjayakan agenda inovasi dan memperkukuh kedudukan sebagai institusi pendidikan unggul di Malaysia.
Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan
