Machang, 21 September 2025 – Konvensyen Guru Perpustakaan dan Media (GPM) 2025 bertemakan “Transformasi Pendidikan Digital 2025” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Profesional UiTM Cawangan Kelantan. Konvensyen ini merupakan anjuran Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia (PGPMM) dengan kerjasama Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP), Perpustakaan Tengku Anis (PTA) serta Fakulti Sains Maklumat (FSM) UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK).


Konvensyen ini diadakan bagi memberi pendedahan, perkongsian idea dan latihan kepada Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dalam melaksanakan inovasi pusat sumber selaras dengan transformasi pendidikan digital. Program ini melibatkan penyertaan hampir 595 Guru Perpustakaan dan Media dari seluruh negeri Kelantan termasuk pegawai Unit Sumber Teknologi Pendidikan di setiap Pejabat Pendidikan Daerah.
Selain itu, konvensyen ini juga menjadi wadah penting untuk perkongsian ilmu dan pendedahan terhadap inovasi teknologi terkini dalam perkhidmatan pusat sumber dan pengurusan perpustakaan digital. Ia dirangka bagi memperkukuh peranan guru serta pustakawan dalam menghadapi perubahan ekosistem pendidikan demi merealisasikan aspirasi Dasar Pendidikan Digital Negara.
Objektif konvensyen ini adalah untuk memperkasakan peranan Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dalam mengurus dan mentransformasi pusat sumber ke arah Vibrant Centre of Learning yang menyokong aspirasi Dasar Pendidikan Digital, mewujudkan platform kolaborasi strategik antara UiTM, Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP), Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah-sekolah di Kelantan bagi memperkukuh inovasi pendidikan digital serta menyemai budaya penyelidikan, inovasi dan perkongsian amalan terbaik dalam kalangan GPM dan pegawai pendidikan untuk meningkatkan kualiti pengurusan pusat sumber sekolah.
Konvensyen dimulakan dengan ucaptama bertajuk “Pusat Sumber Digital sebagai Nadi Transformasi Pendidikan Madani” yang disampaikan oleh YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan (Ketua Pustakawan UiTM). Pembentangan ini menegaskan bahawa pusat sumber dan perpustakaan digital berperanan sebagai nadi kemajuan pendidikan dan pemangkin transformasi pendidikan madani. Pusat sumber bukan sekadar tempat menyimpan koleksi bahan bacaan, tetapi berfungsi sebagai pemancar ilmu berterusan – seumpama “reaktor nuklear” yang menyebarkan tenaga intelektual – melalui pendigitalan perkhidmatan, pengurusan koleksi dan sumber digital yang sistematik, pengukuhan literasi maklumat, galakan membaca, pembangunan profesional pustakawan serta kolaborasi strategik dengan institusi luar. Keseluruhannya, pembentangan ini memberi panduan jelas tentang kepentingan pusat sumber dan perpustakaan digital dalam memperkukuh budaya ilmu, membangunkan modal insan berpengetahuan, serta menyokong penuh agenda transformasi pendidikan madani di Malaysia.



Seterusnya berlangsung sesi Wacana Ilmu: Mengangkat Pusat Sumber sebagai Pemangkin Pendidikan Digital – Kolaborasi UiTM dan GPM bersama panel Pn. Nordelina Zulkarnain (Ketua Perpustakaan Tengku Anis) dan Cikgu Murni Adam (Pengerusi PGPMM Cawangan Kelantan).



Antara tiga slot pengisian konvensyen termasuk AI dalam Pendidikan oleh Prof. Madya Dr. Nasir Ismail (Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTMCK), Kompetensi Guru Perpustakaan dan Media oleh En. Roslan Ab. Ghani (Mantan Guru Perpustakaan dan Media) dan Dari Sunyi ke Dinamik: Menghidupkan Semula Pusat Sumber oleh Tn. Hj. Roswadi Yusof (USTP PPD Pasir Mas).



Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBrs. Encik Zulkfli bin Hj. Zakaria (Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber & Teknologi Pendidikan, JPN Kelantan) dan seterusnya dirasmikan oleh YBrs. Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani (Rektor UiTMCK). Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderahati kepada para tetamu jemputan, penceramah dan juga penaja program.













Turut diadakan juga reruai pameran oleh Pertubuhan Guru Perpustakaan dan Media Malaysia (PGPMM), Perpustakaan Tengku Anis, Geng Buku dan S-Lib bagi memeriahkan konvensyen serta memperkenalkan perkhidmatan dan produk masing-masing kepada para peserta.





Konvesyen diakhiri dengan sesi cabutan bertuah kepada tiga penerima bertuah yang mendapat hadiah berupa komputer riba yang ditaja oleh GengBuku.



Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta yang telah menyertai konvensyen ini, ahli jawatankuasa yang telah memberikan komitmen penuh bagi memastikan kelancaran program, serta penaja iaitu Geng Buku dan S-Lib yang telah memberi sumbangan dan sokongan.



Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang