Perpustakaan Tengku Anis (PTA) UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang telah menganjurkan Program CSR Vitamin Ilmu: Tabika Kemas Sri Cempaka UiTM pada 26 Ogos 2025 (Selasa) bertempat di Bilik Seminar PTA yang melibatkan seramai 17 orang kanak-kanak tabika bersama 2 orang guru pengiring. Program ini bertujuan memperkenalkan konsep literasi maklumat sejak peringkat usia awal dengan pendekatan yang menyeronokkan dan interaktif. Melalui aktiviti yang dirancang, murid diberi pendedahan awal terhadap dunia pembacaan, penceritaan serta cara mengekspresikan idea secara kreatif.
Objektif program adalah:
- Memupuk minat membaca dan mendengar dalam kalangan murid prasekolah.
- Merangsang kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis.
- Memberi peluang kepada murid mengekspresikan diri melalui aktiviti seni dan warna.
- Menyemai semangat patriotisme sejak usia muda.
Antara pengisian aktiviti yang telah dijalankan:
1. Story Telling melalui Penceritaan Video





Aktiviti dimulakan dengan tayangan video penceritaan yang dihasilkan serta disampaikan oleh Puan Norfitriah Mat Seman, Pustakawan Kanan dan pelajar latihan industri Perpustakaan Tengku Anis (PTA). Kandungan video menggunakan ilustrasi dan naratif yang sesuai dengan tahap pemahaman murid prasekolah.
Sepanjang tayangan, murid memberi perhatian penuh dan kelihatan seronok mengikuti jalan cerita. Sesi turut diselitkan dengan perbincangan ringkas mengenai watak serta pengajaran yang boleh diambil daripada cerita tersebut. Aktiviti ini telah berjaya:
- Merangsang kemahiran mendengar dan memahami.
- Menggalakkan murid berfikir secara kreatif serta kritis.
- Menanam minat terhadap membaca dan bercerita.
2. Aktiviti Mewarna (Tema Kemerdekaan)





Seterusnya, murid menyertai aktiviti mewarna helaian bergambar bertemakan kemerdekaan. Aktiviti ini memberi ruang kepada mereka mengekspresikan kreativiti melalui warna dan melatih kemahiran motor halus. Selain itu, tema kemerdekaan yang dipilih juga berperanan menyemai semangat cintakan negara serta memperkenalkan nilai patriotisme sejak di bangku prasekolah.
Secara keseluruhannya, Program CSR Vitamin Ilmu bersama murid Tabika Kemas Sri Cempaka UiTM telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja memperkenalkan konsep literasi maklumat secara asas, malah turut meningkatkan minat terhadap penceritaan, melatih daya kreativiti, serta menyemai nilai patriotisme dalam diri murid.
Sambutan yang positif daripada murid membuktikan bahawa pendekatan interaktif dan visual amat berkesan dalam proses pembelajaran awal kanak-kanak. Program ini juga memberi nilai tambah yang signifikan dalam usaha melahirkan generasi celik maklumat sejak usia muda.


Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang