Robomania Football Cup 2025 Pacu Inovasi Robotik di Pulau Pinang

Pulau Pinang, 10 Julai 2025 – Tirai Pertandingan Robomania Football Cup 2025 secara rasminya berlabuh setelah berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai 2025. Program ini merupakan kerjasama strategik antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Kelab Robotik UiTM Cawangan Pulau Pinang serta rakan teknikal Sasbadi Holdings dan Tech Dome Penang.

Penganjuran pertandingan ini menyaksikan pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan termasuk Program Intel Geek Kids, National Robotic Competition (NRC) Peringkat Negeri Pulau Pinang, serta Pertandingan Robomania Peringkat Negeri dan Zon Utara 2025.

Ruang Library Community Engagement (LCE), PTAR telah dipilih sebagai gelanggang rasmi bagi penganjuran dua pusingan utama Robomania tahun ini. Robomania merupakan acara tahunan anjuran Tech Dome Penang yang bertujuan memupuk minat dalam bidang elektronik, robotik dan inovasi dalam kalangan pelajar, selari dengan hasrat membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Malaysia.

Tahun ini, Robomania 2025 diteruskan dengan skala lebih besar melalui penganjuran Football Cup Peringkat Kebangsaan yang melibatkan pusingan saringan di lima lokasi seluruh Malaysia. Setiap pusingan menampilkan 32 pasukan dari pelbagai sekolah, dengan setiap pasukan diwakili oleh 3–4 pelajar dan seorang guru. Pertandingan dimulakan dengan peringkat kumpulan sebelum mara ke peringkat kalah mati untuk menentukan juara.

Pusingan akhir Grand Finale akan berlangsung di Pulau Pinang pada 25 September 2025, menampilkan pasukan terbaik dari setiap zon. Bagi Zon Utara, gelaran juara telah disandang oleh pasukan Wanyi Stinger dari SK Seri Besout, Perak.

Kejayaan penganjuran kali ini membuktikan komitmen berterusan semua pihak dalam menyokong pembangunan STEM dan inovasi di peringkat akar umbi. PTAR berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif ini dan berharap kerjasama strategik ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply