Sambutan Hari Arkib Antarabangsa 2025 Peringkat UiTM Cawangan Pulau Pinang

Sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa yang diraikan pada 9 Jun setiap tahun, Unit Arkib Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan beberapa siri aktiviti sepanjang bulan Jun bagi meraikan peranan arkib dalam pemeliharaan warisan institusi.

Mengambil tema Hari Arkib Antarabangsa bagi tahun 2025 iaitu “Arkib boleh diakses, arkib untuk semua”, sambutan tahun ini menyaksikan pelbagai inisiatif yang dirancang bagi mengangkat nilai sejarah kampus, khususnya penubuhan awal UiTM Cawangan Pulau Pinang di Permatang Pasir.

Antara pengisian utama ialah aktiviti pengkisahan sejarah bergambar yang berlangsung pada 10 Jun 2025 di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTMCPP. Unit Arkib telah menjemput Encik Azlan A. Aziz, staf yang telah berkhidmat sejak era kampus lama di Permatang Pasir, untuk berkongsi pengalaman serta membantu dalam pemilihan gambar bersejarah bagi tujuan pameran.

Seterusnya, pada 13 Jun 2025, dua sesi rakaman khas telah dijalankan dalam inisiatif Lecturer Vibes dan Alumni Vibes@Permatang Pasir. Rakaman pertama melibatkan temu ramah bersama Dr. Marina Mokhtar, Pensyarah Kanan dari Jabatan Sains Gunaan. Beliau berkongsi tentang sejarah kampus di Permatang Pasir serta pengalamannya mengajar di kampus awal dengan kemudahan yang masih terhad. Pada hari yang sama di sebelah petang menyaksikan rakaman bersama Dr. Ahmad Asri Abd Samat, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang yang juga merupakan alumni kampus. Perkongsian beliau menambahkan nilai kepada dokumentasi sejarah secara lisan.

Kemuncak kepada sambutan ini ialah Pameran Sejarah UiTM Cawangan Pulau Pinang: Permatang Pasir … Di Sini Bermulanya, yang telah berlangsung pada 26 Jun 2025 bertempat di SMK Permatang Pasir, Pulau Pinang. Pameran ini diadakan sempena Karnival Kokurikulum dan STEM Exploration Fest 2025, dan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga sekolah serta pengunjung luar. Melalui paparan pameran dan video ringkas, pengunjung dapat menelusuri jejak sejarah penubuhan awal ITM Pulau Pinang di Permatang Pasir yang menjadi asas kepada UiTM Cawangan Pulau Pinang hari ini.

Sambutan Hari Arkib di peringkat UiTM Cawangan Pulau Pinang kali ini diharap dapat mencapai objektifnya dalam mendekatkan masyarakat kampus serta komuniti luar kepada nilai sejarah dan fungsi arkib sebagai pemegang warisan institusi. Program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan dokumentasi sejarah UiTM terus hidup dan relevan kepada generasi masa kini dan akan datang.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply