Permatang Pasir, Di Sini Bermulanya: Menelusuri Sejarah Awal UiTM Cawangan Pulau Pinang

26 Jun 2025 – Buat julung kalinya, Pameran Sejarah Awal UiTM Cawangan Pulau Pinang telah dipamerkan di lokasi asal penubuhannya, iaitu di SMK Permatang Pasir. Pameran ini diadakan sempena Sambutan Hari Arkib Antarabangsa peringkat UiTM Cawangan Pulau Pinang serta Karnival Kokurikulum & STEM Exploration Fest 2025 yang berlangsung di SMK Permatang Pasir.

Inisiatif pameran oleh Unit Arkib UiTM Cawangan Pulau Pinang ini bertujuan menggalakkan pelajar memahami sejarah penubuhan institusi secara lebih dekat. Melalui bahan arkib bergambar, dokumen sejarah dan hasil temuramah bersama alumni dan pensyarah, para pelajar serta guru berpeluang menelusuri warisan pendidikan tinggi yang telah berkembang pesat dari titik mula UiTM diwujudkan di Pulau Pinang.

Pameran ini berlangsung serentak dengan pelbagai aktiviti lain termasuk pertandingan sains seperti Water Rocket, STEM Quiz, pertandingan gubahan coklat, serta ceramah kerjaya dalam bidang STEM & TVET oleh Vortex Academy. Turut berlangsung ialah bengkel dan pertandingan dron peringkat negeri serta karnival jualan di Dataran Mahabbah.

Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Encik Chew Eng Seng, Pegawai Alam Sekitar Majlis Bandaraya Seberang Perai, manakala majlis penutup disempurnakan oleh Encik Muhammad Fikri Hakimi bin Mazlan, Pengarah Peroot Café Group. Pameran UiTM turut menerima sambutan hangat daripada para pelawat, khususnya dalam menyemai semangat mengenali sejarah institusi pendidikan tinggi tempatan.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply