Program Khidmat Komuniti : Bengkel Bacaan Pantas & Literasi Maklumat

20 November 2024 – Program Khidmat Komuniti : Bengkel Bacaan Pantas & Literasi Maklumat anjuran PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Sumber Pembelajaran, MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang. Program ini melibatkan penyertaan 74 orang pelajar tingkatan 3 dan berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.

Sesi pertama program dimulakan dengan taklimat bacaan pantas oleh Puan Farleen Azrina Zamberi, di mana peserta diperkenalkan dengan teknik-teknik asas bacaan pantas. Selain itu, peserta turut diberi latihan yang memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasi cara bacaan pantas melalui modul latihan yang telah disediakan. Bagi melancarkan perjalanan aktiviti, peserta telah dibahagikan kepada lima kumpulan dengan bimbingan fasilitator yang terdiri daripada staf perpustakaan dan pelajar praktikal.

Sesi yang seterusnya memberi pendedahan kepada peserta mengenai Literasi Maklumat dan kepentingannya dalam pembelajaran masa kini. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah Fakta atau Mitos di mana peserta menjawab soalan untuk menguji kefahaman dan kebolehan mengenal pasti maklumat dengan tepat. Peserta turut mempelajari cara penilaian maklumat serta komunikasi yang baik dalam menyampaikan maklumat dengan lebih tepat dan berkesan.

Program yang berakhir pada jam 1.00 tengah hari itu disempurnakan dengan sesi penyampaian cenderahati antara kedua-dua pihak serta sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa pelajar dengan kemahiran bacaan pantas serta meningkatkan literasi maklumat, sekaligus menyemai minat membaca dan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan generasi muda.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply