Lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan My5G Portal

Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung dari 24 Mei 2024 hingga 2 Jun 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah berpeluang untuk ke pesta buku kali ke-41 ini. 

Wakil PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang diketuai oleh Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan bersama 3 orang Pustakawan Kanan, 3 orang Pembantu Pustakawan Kanan dan seorang Pembantu Pustakawan. Objektif utama lawatan yang diadakan pada 29 Mei 2024 ini adalah untuk bertemu dengan beberapa orang wakil pembekal buku selain membuat lawatan ke reruai-reruai yang terdapat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan melawat My5G Portal.

Antara reruai pembekal buku yang telah dilawati adalah Refined Contour Sdn. Bhd., EDU Resources Sdn. Bhd., Areesh Education & Trading, Ashe Enterprise dan Aliran Ilmu Resources. Selain membuat lawatan ke reruai pembekal dan beramah mesra, wakil pembekal dan Puan Farleen Azrina Zamberi selaku wakil Unit Sumber Rujukan Universiti sempat berbincang tentang pesanan yang telah dibuat dan beberapa perkara yang berkaitan tentang pesanan dan pembelian bahan.

Lawatan diteruskan ke My5G Portal yang terletak di Menara 106, Tun Razak Exchange (TRX). Di My5G Portal, pihak PTAR UiTMCPP telah diberikan penerangan tentang pusat pengalaman 5G yang terbesar di negara dengan kerjasama Ericsson yang diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran dan memacu penerapan teknologi selular tanpa wayar generasi kelima. Antara lainnya, peserta diterangkan tentang penggunaan 5G untuk aplikasi perusahaan dan industri, penggunaan aplikasi di rumah dan komuniti. 

Menariknya sesi lawatan ini turut menerangkan tentang manuskrip al-Quran versi AR yang dibangunkan hasil usahasama Universiti Malaysia Terengganu, Digital Nasional Berhad dan Ericsson. Versi AR ini membolehkan pengguna melihat isi kandungan al-Quran yang ditulis tangan secara digital bagi memelihara manuskrip ini. Selain itu, peserta juga diberikan pendedahan tentang sejarah perkembangan teknologi komunikasi bermula daripada 1G hingga 5G (internet for everything) dan bagaimana 5G yang berkelajuan tinggi, sangat berguna untuk memuat turun filem definisi tinggi dalam 3 saat, teknologi VR, AR, dan simpanan atas talian “cloud storage” yang menghubungkan kehidupan masa depan dengan lebih lancar.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply