Program Literasi Maklumat Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut, Pasir Puteh telah berjaya dianjurkan pada 27 Ogos 2025 (Rabu), bertempat di Aras 1, Perpustakaan Tengku Anis (PTA). Program yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 11.00 pagi ini merupakan inisiatif PTA bagi memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah menengah tentang kepentingan literasi maklumat dalam proses pembelajaran serta peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu.
Pengisian program dimulakan dengan taklimat pengenalan perpustakaan yang disampaikan oleh Puan Norfitriah Mat Seman, Pustakawan Kanan PTA. Melalui taklimat ini, pelajar diberi gambaran menyeluruh tentang fungsi dan kepentingan perpustakaan dalam menyokong pembelajaran, termasuk kemudahan serta koleksi yang disediakan. Seterusnya, pelajar turut didedahkan dengan perkongsian strategi pencarian maklumat yang betul dan berkesan. Dalam sesi ini, mereka diperkenalkan dengan kaedah mencari maklumat menggunakan katalog perpustakaan, serta cara menilai kesahihan sumber agar dapat membezakan antara maklumat sahih dengan yang tidak tepat.





Selain itu, program turut disertakan dengan sesi lawatan ke sekitar perpustakaan. Para pelajar berpeluang meninjau ruang bacaan, koleksi buku rujukan, pameran serta kemudahan yang tersedia. Lawatan ini bukan sahaja memberi pengalaman praktikal kepada pelajar, malah membantu mereka memahami bagaimana perpustakaan boleh dimanfaatkan secara optimum untuk tujuan pembelajaran.

Semoga program ini dapat memberikan pendedahan yang berguna kepada pelajar tentang peranan perpustakaan dan kepentingan literasi maklumat dalam kehidupan seharian. Pihak perpustakaan berharap agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam membentuk generasi pelajar yang celik maklumat, berfikiran kritis serta mampu mengurus pengetahuan secara bijak.
Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang