Merbok, 20 November 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan delegasi dari Universitas Islam Indonesia, Jogjakarta pada 20 November 2025. Lawatan akademik yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini melibatkan 6 orang pelajar bersama 2 orang pensyarah dari Fakulti Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam, iaitu En. Purnama Akhbar dan Pn. Ayundyah Kesumawati. Delegasi turut diiringi dua pensyarah dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Kedah, iaitu Dr. Ida Normaya Mohd Nasir dan En. Kamarul Ariffin Mansor. Program ini dijalankan dengan objektif memberi pendedahan kepada pelajar mengenai ekosistem pembelajaran universiti serta peranan perpustakaan dalam menyokong kecemerlangan akademik.

Sesi dimulakan dengan taklimat komprehensif oleh Puan Azizah Khasim, Ketua Perpustakaan Sultan Badlishah yang menerangkan fungsi perpustakaan sebagai pusat ilmu merangkumi akses kepada koleksi fizikal dan digital. Delegasi Universitas Islam Indonesia turut diterangkan mengenai kemudahan seperti ruang pembelajaran, komputer, akses Wi-Fi, serta perkhidmatan rujukan dan penyelidikan. Selain itu, peserta didedahkan kepada etika penggunaan perpustakaan, teknik pencarian maklumat yang berkesan serta kepentingan perpustakaan dalam membina budaya membaca dan penyelidikan. Penganjuran lawatan ini juga bertujuan menggalakkan perkongsian ilmu, membuka minda terhadap kepentingan pencarian maklumat, serta memupuk kerjasama dua hala antara perpustakaan UiTM dan institusi luar negara.













Lawatan diteruskan dengan sesi eksplorasi perpustakaan di mana para pelajar dan pensyarah berpeluang meninjau koleksi buku, jurnal, majalah serta kemudahan yang disediakan di setiap aras. Delegasi turut meluahkan rasa teruja terhadap susun atur pameran Online databases, kepelbagaian koleksi dan sistem perkhidmatan yang ditawarkan oleh PSB. Sambutan positif dan penglibatan aktif peserta membuktikan bahawa program ini mencapai objektifnya dalam menyemai budaya ilmu serta mengukuhkan hubungan akademik antara UiTM Kedah dan Universitas Islam Indonesia. PSB berharap kolaborasi ini dapat diteruskan pada masa hadapan melalui program dan penyelidikan bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Penulis: Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi