PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan program Team Building PTAR di Sumpitan Glamping, Lenggong, Perak pada 27 dan 28 Februari 2024 yang lalu. Program team building ini diadakan dengan tujuan untuk memupuk semangat berpasukan selain mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan staf PTAR.
Seramai 19 orang staf PTAR UiTMCPP termasuk Timbalan Ketua Pustakawan dan tiga orang pelajar praktikal telah mengikuti program Team Building pada tahun ini. Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang program ini termasuk aktiviti secara individu dan berkumpulan untuk para peserta. Program dimulakan dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Encik Muhammad Ismail Mohd Ali selaku Pengarah program dan diteruskan dengan makan tengah hari dan aktiviti berkumpulan.
Pada sebelah malam, Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar telah dijemput mengimamkan solat maghrib dan isyak serta menyampaikan tazkirah ringkas kepada jemaah. Usai makan malam, program diteruskan dengan acara memotong kek untuk meraikan staf-staf yang menyambut hari kelahiran pada bulan Januari hingga Mac. Selain itu, acara penyampaian hadiah kepada semua kumpulan yang telah menjayakan aktiviti sebelah petang juga diadakan.
Hari kedua, program dimulakan dengan solat subuh dan aktiviti brisk walking sejauh 3 kilometer sambil melihat keindahan alam sekitar kawasan perkhemahan. Kemudian diikuti pula dengan penyampaian amanat oleh Timbalan Ketua Pustakawan kepada semua peserta. Di dalam ucapan beliau, Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar telah menzahirkan rasa bersyukur kerana program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama yang sangat baik daripada semua staf perpustakaan. Beliau juga berharap semoga ianya dapat dikekalkan dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.
Disediakan oleh : Rafidah binti Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan