Pada 24 April 2022 (Ahad), pihak Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Kuala Terengganu dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam telah menganjurkan program siaran langsung Tazkirah Ramadhan yang bertajuk Anda Tanya Ustaz Jawab : Keutamaan 10 Malam Terakhir Ramadhan bersempena Program World Quran Hour 2022. Sempena menyokong dan menyemarakkan program World Quran Hour 2022, bacaan Surah As-Sajadah dilaksanakan sebelum tazkirah bermula.
Program ini dikendalikan oleh Ustaz Mohd Shahnizam Azmi, Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UiTMCTKKT. Penceramah jemputan bagi program ini ialah Ustaz Abdul Halim Awang merupakan Pensyarah Kanan UniSZA/Mantan Timbalan Mufti Negeri Terengganu. Program ini dijalankan secara bersemuka di Ruang bacaan, Perpustakaan Cendekiawan UiTMCTKKT dan secara langsung di platform Youtube Live Stream Perpustakaan Cendekiawan UiTMCTKKT.
Objektif program ini ialah untuk memberi pendedahan dan perkongsian mengenai keutamaan 10 malam terakhir Ramadhan yang dinantikan oleh semua umat Islam. Ia juga memberi semangat untuk terus beribadah sehingga Ramadhan berakhir tanpa rasa kekesalan dalam diri. Perkongsian diteruskan dengan pelbagai soalan yang menarik antaranya perkara yang tidak boleh dilakukan sepanjang berpuasa dan amalan-amalan yang perlu ditingkatkan sepanjang bulan Ramadhan.
Program Tazkirah Ramadhan yang berlangsung selama 2 jam mendapat maklumbalas yang baik dari peserta terutamanya warga UiTM yang menyertai sehingga selesai program. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat dan dapat mengeratkan ukhwah dan jaringan yang terjalin antara warga UiTM agar sentiasa berterusan dalam melaksanakan pelbagai program yang berimpak tinggi pada masa hadapan.
Program ini juga dapat menyokong kepada sasaran Sustainable Development Goals (SDG) iaitu SDG ke-4 iaitu Pendidikan Berkualiti. Penonton boleh menonton semula rakaman program tersebut menerusi saluran YouTube PERPUSTAKAAN CENDEKIAWAN UITMCTKKT.
Penulis: Cik Nurmaisari Che Anuar, Pustakawan UiTMCT Kampus Kuala Terengganu