Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah membuat Kunjungan Hormat ke Pejabat Dekan Fakulti Sains Sukan & Rekreasi (FSR) pada 16 Mac 2022 (Selasa) jam 2.30 petang hingga 4.45 petang bertempat di Bilik Seminar.
Barisan Pengurusan PTAR adalah seramai 9 orang yang diwakili oleh Ketua Jabatan, Ketua Bahagian dan Pegawai Perhubungan Perpustakaan. Barisan Pengurusan Fakulti yang turut sama menjayakan sesi ini adalah Dekan, Timbalan Dekan, Para Pensyarah serta Staf Pentadbir seramai 15 orang.
Sesi dimulakan dengan ucapan aluan Dekan FSR iaitu Prof. Dr. Mohad Anizu Mohd Nor diikuti pembentangan oleh Tuan Haji Azizi Jantan selama 2 jam. Pembentangan adalah berkaitan Perpustakaan Digital, Perkhidmatan dan Koleksi juga Inisiatif Baharu PTAR bagi tahun 2022.
Sesi ini juga membuka ruang sesi soal jawab, maklumbalas dan perkongsian idea di antara kedua belah pihak. Selain daripada itu, perkhidmatan Book2U@PTAR turut dijalankan sepanjang sesi ini bagi tujuan pinjaman. Antara koleksi buku-buku terkini adalah berkaitan bidang Sukan dan buku ‘Bestseller’.
Diharapkan sesi ini dapat mengeratkan kerjasama di antara kedua belah pihak dalam usaha meningkatkan mutu dan perkhidmatan perpustakaan sekaligus menjadi rakan strategik penyelidikan dan penulisan fakulti khususnya dan universiti amnya.
Penulis : Nor Hafizah Md Hanafiah (Pustakawan Kanan), PTAR Sains & Teknologi