SHAH ALAM: Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) telah menganjurkan program istimewa, Bual@IMPAK Siri Khas Adiwangsa: Mantan Naib Canselor UiTM, yang berjaya menarik perhatian warga kampus dan alumni.
Siri ketiga program ini menampilkan dua tokoh berprofil tinggi sebagai panel, iaitu Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, mantan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA keenam, dan Prof. Dr. Ismie Roha Mohamed Jais, Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik). Diskusi yang berlangsung dalam suasana ilmiah dan inspiratif itu dimoderatorkan oleh Pn. Umaimah Kamarulzaman.
Program ini bertujuan untuk menggali pandangan dan pengalaman daripada mantan Naib Canselor dalam menerajui universiti, khususnya dalam membentuk hala tuju strategik UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi unggul di negara ini.
Dalam sesi tersebut, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah berkongsi perjalanan beliau sebagai Naib Canselor wanita pertama UiTM, termasuk cabaran dan pencapaian signifikan sepanjang tempoh pentadbiran beliau. Sementara itu, Prof. Dr. Ismie Roha pula menekankan kepentingan komunikasi strategik dalam mengangkat reputasi institusi serta membina hubungan erat antara warga universiti dan masyarakat.
Bual@IMPAK Siri Khas Adiwangsa ini menjadi platform penting untuk mengetengahkan sumbangan pemimpin akademik dalam memacu pembangunan UiTM. Program ini bukan sahaja memberi inspirasi kepada generasi muda, tetapi juga menjadi wadah memperkukuhkan legasi institusi.