Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility
Sejarah Penubuhan Perpustakaan UiTM

Sejarah Penubuhan Perpustakaan UiTM

Star InactiveStar InactiveStar InactiveStar InactiveStar Inactive
 

 

Penubuhan Perpustakaan UiTM bermula setelah tertubuhnya Dewan Latehan RIDA di Jalan Othman, Petaling Jaya pada tahun 1956. Pada awalnya, ia dikenali sebagai Perpustakaan RIDA yang memuatkan bahan-bahan bacaan kursus menyimpan kira-kira (Book keeping), perakaunan dan kursus persediaan bagi menduduki Peperiksaan London Chamber of Commerce (LCC) serta pelaksanaan kerja berkaitan dengan perpustakaan hanya beroperasi di bilik yang terletak di tingkat satu bangunan lama Bahagian Pentadbiran, Dewan Latehan RIDA. Selepas itu, perpustakaan telah berpindah ke aras bawah blok tambahan Bahagian Pentadbiran, Dewan Latehan RIDA untuk menampung pertambahan koleksi dan pelanggan.

Pada tahun 1965, perpustakaan telah bertukar nama kepada Perpustakaan Maktab MARA sempena pertukaran Dewan Latihan RIDA kepada Maktab MARA dan merupakan tahun pertama Perpustakaan Maktab MARA ditadbir oleh seorang pegawai yang bertauliah dalam bidang kepustakawanan. Koleksi perpustakaan pada ketika itu terdiri daripada buku, jurnal, majalah, suratkhabar dan lain lain penerbitan yang hanyalah terdapat dalam Bahasa Inggeris terbitan luar negara.

Pada 14 Oktober 1967 nama Maktab MARA telah ditukar sekali lagi kepada Institut Teknologi MARA (ITM). Dalam masa yang singkat kampus ITM Jalan Othman telah tidak dapat menampung keperluan berikutan pertambahan kursus-kursus profesional baru yang secara tidak langsung melibatkan pertambahan pelajar. Maka pada tahun 1972, kampus induk ITM telah dibina di Shah Alam. Kampus induk, perpustakaan ITM telah disediakan dengan sebuah bangunan khas setinggi empat tingkat yang direka melalui perbincangan dengan Ketua Pustakawan mengikut spesifikasi perpustakaan akademik.

Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Tun Abdul Razak pada 29 Julai 1972. Nama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) diberi bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia tersebut. Pada tahun 1970-an, sejumlah besar koleksi perpustakaan adalah terdiri daripada bahan-bahan bercetak, dan koleksi mikrofom (mikrofilem, mikrofis, dan filem 16mm).

PTAR adalah merupakan perpustakaan induk dan mempunyai empat (4) buah Perpustakaan Fakulti di Kampus UiTM Shah Alam. Perpustakaan UiTM telah memperlihatkan perkembangannya melalui 39 buah rangkaian perpustakaan di seluruh Malaysia, berfokuskan kepada teras utama perkhidmatan bagi memenuhi keperluan warga Universiti. Perkembangan Perpustakaan UiTM Cawangan adalah seiring dengan pembangunan UiTM Cawangan bertujuan untuk memberikan perkhidmatan perpustakaan kepada pelanggan.

Tarikh/Tahun Penerangan Sejarah
14 Februari 1957 Penubuhan Perpustakaan ITM bermula dengan tertubuhnya Dewan Latihan RIDA di Jalan Othman, Petaling Jaya.
Dikenali sebagai Perpustakaan RIDA memuatkan bahan-bahan bacaan kursus menyimpan kira-kira (Book Keeping), Perakaunan dan Kursus Persediaan bagi menduduki Peperiksaan London Chamber of Commerce (LCC).
1965 Ditukar kepada Perpustakaan Maktab MARA sempena pertukaran dari Dewan Latihan RIDA kepada Maktab Latihan RIDA
1965 Merupakan tahun pertama Perpustakaan Maktab MARA ditadbirkan oleh seorang yang bertauliah dalam bidang kepustakawanan. Jawatan Pegawai Perpustakaan yang sulung telah disandang oleh Puan Rugayah bt. Abdul Rashid (sekarang Puan Sri Rugayah Abdul Rashid) yang berkelulusan daripada University of Hawaii dalam bidang Sains Perpustakaan. Koleksi perpustakaan pada ketika itu terdiri daripada buku, jurnal, majalah, suratkhabar dan lain lain penerbitan yang hanyalah terdapat dalam Bahasa Inggeris terbitan luar negara.
1972 Kampus induk ITM telah dibina di sebuah bukit di Shah Alam. Di Kampus induk, perpustakaan ITM telah di sediakan dengan sebuah bangunan khas empat tingkat yang di reka melalui  perbincangan dengan Ketua Pustakawan mengikut spesifikasi perpustakaan akademik.
29 Julai 1972 Perpustakaan ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia kedua, iaitu Tun Abdul Razak. Nama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) diberi nama bersempena dengan nama Perdana Menteri Malaysia tersebut
Sejumlah besar bahan-bahan yang diperolehi untuk koleksi perpustakaan adalah bahan-bahan bercetak, terdapat juga koleksi mikrofom (mikrofilem, mikrofis, dan filem 16mm). 
1994-2000 Transformasi Perpustakaan terhadap proses dalaman. Perubahan daripada manual kepada automasi
2001-2005 Transformasi penambahbaikan proses kerja, storan data berpusat, bahan digital, sistem kawalan aset dan pemantauan keselamatan perpustakaan.
2006-2010 Transformasi perkhidmatan melalui pengurusan pengetahuan, integrasi antara sistem utama universiti dan inovasi.
2011-2015 Transformasi perpustakaan berdasarkan Strategi Teras (ISP) PTAR untuk mencapai sasaran UiTM ke arah Top Notch University.
2016-2020 Transformasi perkhidmatan perpustakaan berdasarkan kepada agenda utama untuk mencapai tahap global.
2020-2025 Transformasi perpustakaan untuk menjadikan UiTM sebuah Universiti Terkemuka Dunia (Globally Renowned, Locally Rooted University)
Tags:

Contact Us

Corporate Communication Division
Perpustakaan Tun Abdul Razak
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
40450 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
Malaysia

  +603 5543 8581 | Consultation Services
  +603 5544 3716 | Customer Services
  +603 5521 1704 | Corporate Division
  korporatptar@uitm.edu.my
  Join Channel - @uitmlibrary
  Click here to view QR Code
  Facebook Chief Librarian