Sebagai usaha memperkukuh peranan perpustakaan universiti dalam pembangunan ilmu dan khazanah Islam, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Shah Alam telah menyumbangkan sebanyak 233 naskhah kitab dengan nilai keseluruhan RM18,138.00 kepada Perpustakaan Madrasah Nur Muhammad, Kelantan pada 18 April 2025.
Sumbangan ini adalah respons kepada permohonan pihak madrasah yang sedang dalam proses penubuhan perpustakaan, khususnya bagi memperkaya koleksi kitab turath berbahasa Arab dan terjemahan untuk kegunaan para guru serta pelajar jurusan Alim dan Tahfiz.
Melalui sumbangan ini, PTAR menzahirkan komitmen dalam memperluas jaringan ilmu dan memartabatkan khazanah keilmuan Islam melalui perkongsian sumber bacaan yang bermanfaat. Langkah ini juga selaras dengan matlamat PTAR untuk memperkukuh hubungan kolaboratif dengan institusi pendidikan agama di seluruh negara.
