PROGRAM LITERASI MAKLUMAT DEKATKAN PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DAERAH PASIR PUTEH
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh telah menganjurkan Program Literasi Maklumat yang melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah dari seluruh daerah Pasir Puteh, Kelantan.
Program yang berlangsung di Bilik Seminar, Perpustakaan Tengku Anis ini bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang, bertujuan meningkatkan tahap celik maklumat dalam kalangan pelajar, khususnya dalam kemahiran mengakses, menilai dan menggunakan maklumat secara beretika dan berkesan.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan, PPD Pasir Puteh dan wakil guru serta Fakulti Sains Komputer dan Matematik, UiTM Cawangan Kelantan, yang menyumbang kepakaran dalam sesi bengkel dan pameran interaktif berkaitan pencarian maklumat digital, pengurusan rujukan serta penggunaan sumber perpustakaan akademik.
Penganjur, program ini selaras dengan usaha memperkasa literasi maklumat dalam kalangan pelajar sekolah menengah agar lebih bersedia menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Selain itu, ia turut memberi pendedahan awal terhadap kemudahan dan peranan perpustakaan akademik dalam menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat.
Program ini merupakan salah satu inisiatif UiTM dalam memartabatkan budaya ilmu dan memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dengan agensi pendidikan setempat.
Dengan tema “Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa”, program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi celik maklumat yang kritis, beretika dan berdaya saing.