PROGRAM LITERASI MAKLUMAT BERSAMA SEKOLAH KEBANGSAAN KADOK
Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Program Literasi Maklumat bersama murid-murid Sekolah Kebangsaan Kadok, Kota Bharu. Program ini berlangsung di Bilik Seminar, PTA dari jam 9.00 hingga 11.00 pagi.
Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai kepentingan literasi maklumat dalam pembelajaran seharian. Melalui aktiviti interaktif dan pembelajaran berasaskan pengalaman, murid-murid didedahkan kepada cara mengenal pasti, mencari, menilai dan menggunakan maklumat dengan lebih berkesan.
Selain sesi literasi, para peserta turut dibawa melawat Ruang Pameran The Authentic Diploma Showcase anjuran Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UiTM Cawangan Kelantan. Lawatan ini memberikan pengalaman baharu kepada murid-murid dalam mengenali hasil karya kreatif pelajar diploma serta membuka minda mereka terhadap bidang seni dan reka bentuk.
Dengan tema Pembudayaan Ilmu Membentuk Adiwangsa, program ini diharap dapat meningkatkan minat membaca, kemahiran maklumat, serta membina apresiasi terhadap seni dan ilmu dalam kalangan murid sekaligus menyokong aspirasi universiti dalam melahirkan generasi celik maklumat serta berdaya saing pada masa hadapan.