Y.B. Datuk Bandar, Tan Sri Yaacob Latiff, Y.B. Menteri-menteri,Dif-dif yang terhormat, Tuan-tuan dan Puan-puan.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan berbanyak terimakasih kepada Datuk Bandar dan anggota-anggota Jawatankuasa Perayaan yang telah sudi menjemput saya melakukan upacara merasmikan tapak Tugu Peringatan Pusat Asal Kuala Lumpur ini.
Pagi tadi istiadat menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur sudahpun disempurnakan oleh D.Y.M.M. Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan D.Y.M.M. Sultan Selangor dengan disaksikan oleh D.Y.M.M. Raja-Raja, Gabnor-Gabnor dan Yang Dipertua Negara Sabah, diikuti dengan Perisytiharan Kuala Lumpur yang menandakan tertubuhnya Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, upacara sederhana petang ini mempunyai erti yang penting kepada kita sekalian dan juga kepada jenerasi-jenerasi akan datang sebagai mengingatkan sejarah tumbuhnya Ibu Kota Kuala Lumpur dan perkembangannya hingga ke hari ini.
Pada upacara ini, barangkali elok juga saya sebutkan sedikit asal usul sejarah Kuala Lumpur ini semenjak Raja Abdullah, adik kepada Raja Jumaat Lukut yang terkenal itu, mula-mula sampai ke tempat ini 118 tahun yang lalu. Menurut riwayatnya, rombongan Raja Abdullah yang mengandungi lebih kurang lapan puluh tujuh orang pekerja Cina telah mudik sungai Kelang dan kebetulan memilih persimpangan Sungai Kelang dan Sungai Gombak ini dijadikan pengkalan perahu untuk turun naik pergi membuka lombong bijih di tempat yang sekarang dipanggil Ampang. Kejayaan lombong bijih ini menarik lebih ramai orang-orang Melayu dari Sumatra iaitu dari Mendeling, Rawa, Bangkahulu dan Batu Bara datang membuka kampung sekitar tempat ini. Lama kelamaan pengkalan ini menjadi sebuah pekan kecil dan diberi nama Kuala Lumpur (agaknya kerana air sungai itu keruh oleh lumpur disebabkan orang melombong di sebelah ulu).
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Sejak dari masa itu, Kuala Lumpur ini telah berkembang maju dengan pesatnya sehingga tahun 1880 manakala pusat pentadbiran Negeri Selangor berpindah dari Kelang ke Kuala Lumpur sebagai Ibu Negeri. Inilah titik permulaan Kuala Lumpur memegang peranan baru di bidang politik dan pentadbiran yang berlanjutan kepada penubuhan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) pada 1hb Julai, 1896, manakala Kuala Lumpur menjadi pusat pentadbirannya. Sejarah moden Semenanjung tentulah lebih dimaklum manakala Kuala Lumpur menjadi Ibu Negara Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1946 dan berlanjutan kepada masa tercapainya kemerdekan hinggalah ke hari ini.
Perjanjian Kuala Lumpur yang ditandatangani pagi tadi menandakan titik perpisahan dengan zaman lalu kerana dengan itu berakhirlah keadaan dua tugas (dual function) Bandaraya ini sebagai Ibu Negeri Selangor dan Ibu Negara Persekutuan. Seperti kita maklum, Selangor akan mempunyai Ibu Negeri yang baru di Shah Alam dan kita sekalian berharap semoga bandar baru dan moden yang sedang dibina itu akan benar-benar mencerminkan hasrat dan cita-cita Dasar Ekonomi Baru.
Sementara itu, kita akan mengambil langkah menjalankan segala usaha agar Kuala Lumpur menjadi Ibu Negara Malaysia dalam ertikata sepenuhnya. Kuala Lumpur akan menempuh zaman pembaruan yang akan memancarkan wajahnya menjadi Bandaraya yang moden tetapi mengekalkan identiti dan character yang memberi kemegahan kepada kita dan mendapat pujian terutama di kalangan pelawat-pelawat dari luar negeri.
Dalam hubungan ini, Majlis Bandaraya dan UDA akan bekerjasama dengan pihak swasta melaksanakan pemulihan bandar atau urban renewal di bahagian-bahagian yang sudah. lama dan berumur sambil membangun projek-projek baru yang akan menambah keindahan Ibu Negara ini. Beberapa projek besar-besaran sedangpun dilaksanakan khasnya dalam kawasan Jalan Ampang/Jalan Treacher selain dari kawasan Pusat Bandaraya di mana, mengikut perancangan, akan dibangunkan Civic Centre dan Bangunan Pejabat Bandaraya yang baru kelak.
Di samping itu, kita akan memperindahkan Bandaraya ini dengan tanaman pokok-pokok, taman-taman dan pancutan air di tempat-tempat yang sesuai sambil memperbaiki lagi sistem jalanraya dalam bandar dan keluar bandar dan mengadakan sistem pengangkutan umum yang lebih baik. Pendek kata, Kerajaan akan berbuat apa yang patut dan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menjadikan Kuala Lumpur setanding dengan Bandaraya lain-lain yang moden dan futuristic.
Saya sukacita dan puashati iaitu dalam pembangunan yang sedang dilaksanakan ini, perhatian berat sedang diberikan untuk mencapai matalamat menyusun semula masyarakat. Sambil itu kita juga akan mengekalkan bangunan lama yang bersejarah dan memberikan identiti seperti Bangunan Sekretariat, Mahkamah Tinggi dan Pejabat Bandaraya yang ada sekarang ini. Hanya di bahagian Padang di mana terletaknya Kelab Selangor dan sekitarnya akan diroboh dan ditempatnya dibina Civic Centre yang bakal menjadi kemegahan penduduk-penduduk Bandaraya dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Begitulah dengan ringkasnya kemajuan dan perkembangan Kuala Lumpur ini yang bermula sebagai deretan kedai-kedai atap seratus tahun dahulu sehingga menjadi Bandaraya yang terkenal dan sekarang menempa sejarah sebagai Wilayah Persekutuan. Kita sama-sama bergembira kerana perkembangan terakhir ini berlaku semasa hidup kita dan dapat pula kita berbangga kepada anak cucu bahawa kita turut memberikan sumbangan mencatitkan sejarah itu. Saya berharap Batu Peringatan ini tidak akan dianggap sematamata sebagai tanda kenangan bahkan yang lebih penting ianya akan menjadi punca inspirasi kepada jenerasi muda hari ini dan seterusnya kepada jenerasi-jenerasi akan datang.
Akhirnya, saya berharap di samping menjadi lambang kemegahan wujudnya Wilayah Persekutuan, Tugu Peringatan ini hendaklah juga disifatkan sebagai sumbangan rakyat Wilayah Persekutuan, dan oleh kerana projek ini memerlukan belanja yang banyak untuk menyempurnakannya, maka saya suka merayu kepada para dermawan, khasnya di Kuala Lumpur ini, supaya bermurah hati memberikan seberapa banyak sumbangan untuk menjayakannya. Semua derma yang dihulurkan untuk projek ini akan dikecualikan dari cnkai pendapatan dan saya percaya para dermawan akan memberikan sambutan yang selayaknya bagi
menjayakan projek ini.