Y.B. Tan Sri Yaacob Latiff, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Y.B.Menteri-menteri, Saudara-saudara sekelian,
Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana dapat bersama-sama di majlis yang permai ini bagi menyambut Ulangtahun pertama penganugerahan taraf Bandaraya untuk Kuala Lumpur. Bagi pihak Kerajaan dan negara seluruhnya, sukalah saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Y.B. Datuk Bandar serta rakanrakannya ahli-ahli Suruhanjaya dan Pegawai-pegawai Dewan Bandaraya kerana mengdakan Majlis Jamuan yang gilang-gemilang ini sebagai merayakan peristiwa yang bersejarah serta besar maknanya kepada Ibu Negara kita dan juga kepada negara amnya. Saya amat berterimakasih kepada Datuk Bandar, juga bagi pihak isteri saya, kerana sudi menjemput kami turut hadir bersama dalam perayaan yang meriah ini, di samping memberikan saya kesempatan untuk beramah mesra dengan pembesar-pembesar Bandaraya ini atau City Fathers kita.
Saya sukalah mengesyorkan supaya Majlis seperti ini diadakan setiap tahun dengan harapan semoga akan terus menjadi satu tradisi yang berkekalan bagi Bandaraya ini untuk zaman berzaman. Sebagaimana juga Bandaraya lain di dunia yang mempunyai tradisi dan sejarah beratus-ratus tahun, adalah baik bagi Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai tradisinya sendiri pula dan tradisi-tradisi itu hendaklah mencerminkan semangat dan kehidupan Negara kita serta pembangunan dan kemajuannya yang patut menjadi kebanggaan kepada seluruh bangsa Malaysia.
Saudara-saudara sekalian,
Sebenarnya, Bandaraya Kuala Lumpur adalah berumur satu tahun dan ibarat seorang kanak-kanak hanya baru belajar merangkak dan belum boleh berjalan lagi. Dari segi sejarah, Kuala Lumpur sudah lama terbuka sebagai pusat perniagaan dan perlombongan bijih yang penting lebih seratus tahun dahulu. Dan semenjak zaman Kapitan Cina Yap Ah Loy kampung yang kecil tadi bertukar wajah menjadi sebuah pekan yang ramai dan dipilih menjadi Ibu negeri serta pusat pentadbiran Negerinegeri Melayu Bersekutu pada tahun 1895 membawa kepada Perang Dunia Kedua. Berikutan itu Kuala Lumpur menjadi Ibu
Negara Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan kemudian ditetapkan menjadi Ibu Negara Malaya Merdeka pada tahun 1957 dan masuk ke zaman Malaysia pada tahun 1963 hingga hari ini.
Adalah jelas bahawa Bandaraya Kuala Lumpur hari ini yang telah mengalami berbagai-bagai perubahan dan perkembangan yang pesat mempunyai dua peranan yang sama penting sebagai pusat pentadbiran negara serta pusat tumpuan perdagangan dan perindusterian. Rancangan-rancangan yang sedia ada untuk dilaksanakan dalam beberapa tahun akan datang ini akan terus mengubah wajah dan watak Bandaraya ini menjadi sebuah metropolis moden yang boleh dimegahkan setanding dengan kota-kota besar di dunia
rantau ini.
Saudara-saudara sekalian,
Secara kebetulan, Majlis Jamuan Bandaraya kali ini diadakan di Dewan Banquet Parlimen yang melambangkan identiti demokrasi negara kita. Bagaimanapun, kita tentulah sama-sama berharap semoga dalam tempoh yang tidak begitu lama Datuk Bandar kita dan rakan-rakannya akan dapat mengadakan Majlis Jamuannya di Pusat Sivik Bandaraya yang sedang dirancangkan manakala projek City Centre yang meliputi tanah lapang serta tapak Selangor Club sekarang ini siap kelak. City Centre ini yang merupakan jantung hati Ibu Negara—the heart of the city—menjadi satu lagi lambang keperibadian negara kita untuk memenuhi hasrat kita sebagai bangsa yang merdeka.
Saudara-saudara sekalian,
Kita sama-sama bersyukur oleh kerana tahun 1973 ini adalah tahun yang sangat cemerlang, yang membawa harapan penuh bukan saja kepada kita di Malaysia bahkan juga untuk negaranegara di rantau ini khasnya dan seluruh dunia amnya. Perjanjian damai yang telah ditandatangani di Paris beberapa hari lalu bermaksud menghentikan persengketaan di wilayah Indo-Cina yang telah berlarutan lebih dari dua puluh tahun itu. Meskipun nampaknya suasana hari ini masih berupa `fragile peace', tetapi adalah menjadi harapan kita semua dan dunia amnya bahawa perdamaian yang berkekalan akan menjadi satu kenyataan sebenar dalam tempoh yang seberapa segera. Dengan kembalinya suasana damai semula di Indo-Cina, maka pastilah negara-negara yang terlibat itu dan juga negara-negara di rantau ini termasuk kita sendiri akan melihat masa depan yang cerah dan membolehkan kita semua melaksanakan usaha-usaha pembangunan negara serta mengembalikan kestabilan politik untuk rantau ini.
Saudara-saudara sekalian,
Sebagaimana kita maklum, Kerajaan telahpun menyediakan rancangan besar-besaran untuk Bandaraya yang dikasihi ini supaya benar-benar memenuhi taraf serta tuntutan sebagai Ibu Negara Malaysia. Secara amnya, matlamat yang hendak kita capai untuk Bandaraya Kuala Lumpur ini untuk beberapa tahun akan datang terbahagi kepada beberapa bidang yang besar. Sebagai Ibu Negara Malaysia, kita akan membina semula bahagian-bahagian bandar yang sudah lama menurut konsep perancangan moden serta menjaga keindahan semula jadinya. Di samping itu patutlah juga dipelihara unsur-unsur sejarah yang ada seperti bangunan lama atau bekas-bekas peninggalan masa lampau untuk mengekalkan identity Bandaraya Kuala Lumpur ini. Konsep perancangan yang menyeluruh bagi memenuhi kehendak-kehendak kehidupan moden
terutama di segi keindahan anesthetic dan keperibadian bangsa semestinya menjadi panduan utama bagi City Fathers Bandaraya ini.
Mengingat peranannya sebagai pusat pentadbiran yang mengendalikan teraju pimpinan pembangunan ekonomi negara, Bandaraya Kuala Lumpur hendaklah merupakan "nerve-centre" untuk menggerakkan perkembangan ekonomi dan sosial yang lebih luas.Untuk tujuan ini amatlah mustahak ditambah infrastructure dan kemudahan-kemudahan yang akan meningkatkan lagj kadar dan mutu pembangunan seluruhnya. Begitu juga, Kuala Lumpur mempunyai daya penarik bagi rakyat dari semua gulungan, terutama belia-belia dari kampung-kampung, yang mengikuti aliran urban migration samada untuk mencari mata pencarian hidup mereka bekerja di kilang-kilang ataupun meninggikan taraf pelajaran di Pusat-pusat Pengajian ataupun turut serta bersaing di lapangan perniagaan. Tentulah mereka ingin menikmati
kehidupan yang lebih moden dan cultural life yang lebih bermutu ataupun segi hiburan serta recreation. Dalam hal ini amatlah mustahak kita menambah peluang-peluang pekerjaan dan mengadakan perumahan yang lebih banyak untuk rakyat yang kian bertambah itu di samping kemudahan hidup supaya memberi taraf kehidupan yang bernilai sebagai penduduk Bandaraya yang moden.
Kesemuanya ini, pada hemat saya, telahpun digariskan dengan jelas dalam Dasar Ekonomi Baru terutama dalam context penyusunan semula masyarakat.
Pada pandangan saya amatlah mustahak proses pembaruan Bandaraya ini menunjukkan bukti yang nyata ke arah mencapai matlamat penyusunan semula masyarakat. Melalui Dewan Bandaraya sendiri, dan dengan kerjasama UDA, Perbadanan Kemajuan Negeri serta badan-badan yang lain, kita akan melaksanakan rancangan-rancangan bagi mencapai matlamat ini dalam tempoh beberapa tahun. Bagaimanapun, untuk menjamin kejayaan penyusunan semula masyarakat dalam tempoh yang ditentukan itu mestilah melibatkan semua pihak dan gulungan iaitu para dermawan, kalangan perniagaan, ahli-ahli professional,
cerdik pandai atau akademik bahkan orang perseorangan yang ingin berbakti serta cinta kepada Bandaraya ini.
Saudara-saudara sekalian,
Masanya sudah tiba bagi kita menentukan arah dan corak pembangunan Bandaraya ini untuk beberapa tahun ke hadapan supaya benar-benar memenuhi hasrat menjadikan Bandaraya ini tapak landasan dalam usaha penyusunan semula masyarakat.Di samping memberikannya wajah baru yang indah dan mempunyai keperibadian sendiri, pembangunan yang tidak teratur atau tidak bermutu tidak dapat dibiarkan, apa lagi pembangunan yang tidak memberi sumbangan nyata kepada objective Dasar Ekonomi Baru. Tindakan hendak diambil dari sekarang juga menentukan pola pembangunan yang kita kehendaki, kerana
kalau tidak, perubahan yang nyata samada dari segi penyusunan semula masyarakat ataupun memperindahkan environment itu tidak akan dinikmati oleh jenerasi masa hadapan.
Sekarang inipun, pembangunan yang pesat sedang berlaku di merata-rata kawasan sekitar Kuala Lumpur, tetapi bukanlah semuanya boleh dianggap memenuhi hasrat dan cita-cita kita.Pembangunan yang kita kehendaki ialah yang benar-benar dapat memberi peluang penyertaan kepada semua puak di semua peringkat dan dalam semua lapangan penghidupan, dan hendaklah juga mengadungi unsur-unsur keindahan serta mutu binaan yang mencerminkan watak serta keperibadian negara ini.
Kerajaan sentiasa memberi perhatian penuh kepada perkembangan pembangunan dalam Bandaraya ini dan akan menambah lagi sumbangan kewangan dan teknikal kepada Dewan Bandaraya supaya dapat menjalankan rancangan-rancangan dan tugas-tugasnya dengan penuh kejayaan.
Saudara-saudara sekalian,
Sebagaimana halnya dengan Ibu Kota yang sedang membangun, masaalah-masaalah sosial di dalam Bandaraya kita telah semakin bertambah dan perlulah diambil langkah-langkah tegas untuk memberikan rakyat yang kurang bernasib baik itu keadaan hidup yang lebih sempurna. Dari itu pembangunan semula Bandaraya ini hendaklah juga menitikberatkan rancangan sosial supaya menjamin tercapainya matlamat membasmi kemiskinan di kalangan rakyat dari semua bangsa. Rancangan perumahan rakyat secara besarbesaran yang akan dijalankan oleh Dewan Bandaraya adalah satu langkah positive ke arah matlamat itu.
Kaum belia merupakan golongan yang penting kerana mereka merupakan 25% dari jumlah penduduk Bandaraya ini. Kesulitan yang dialami oleh belia-belia yang berpendapatan rendah terutama perumahan menjadi bertambah berat oleh kerana perbelanjaan hidup yang semakin tinggi di samping faktor yang Iain-lain. Saya suka mengesyorkan pihak Dewan Bandaraya mengkaji kemungkinan mengadakan rancangan perumahan khas dengan kadar sewa yang berpatutan bagi kaum belia yang bekerja di Ibu Kota dan sekitarnya. Rancangan Perumahan ini hendaklah mempunyai kemudahan-kemudahan bagi kegiatan-kegiatan belia di bidang rohani dan jasmani.
Saudara-saudara sekalian,
Kita sekarang memasuki tahun ketiga dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru. Saya sukacita menyatakan bahawa hingga hari ini proses pelaksanaan itu sedang berjalan dengan memuaskan dan pada keseluruhannya, kita telah mencapai matlamat pembangunan yang ditentukan untuk tempoh dua tahun, di peringkat negeri dan juga pusat. Bagaimanapun, jalan yang hendak kita tempuh masih jauh sehingga kita berjaya mendirikan satu social order yang baru di mana rakyat dari semua gulungan dapat menikmati taraf kehidupan yang sempurna dan hidup dalam suasana aman dan bahagia.
Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah di Bandaraya seperti Kuala Lumpur ini terdapat economic contradiction yang nyata antara yang berada dan yang dhaif—between the haves and the havents—oleh kerana pembahagian kekayaan yang tidak seimbang. Keadaan ini tentulah tidak harus dibiarkan begitu saja. Sungguhpun Kerajaan sendiri berusaha in bridging this gap, adalah baik sekiranya kaum hartawan atau gulungan berada dalam masyarakat turut membantu usaha ini dalam konsep sharing the economic prosperity in order to help reduce social conflicts and tension. Amatlah penting segala national resources yang ada terutama di tangan puak swasta disalurkan kepada employment generating ventures, baik di bidang industry ataupun agriculture, dan dengan itu memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat teratama kaum belia. Saya percaya inilah satu-satu jalan yang baik untuk melaksanakan a more equitable distribution of national wealth bagi mencipta masyarakat adil seperti yang kita cita-citakan itu.
Datuk Bandar, Saudara-saudara sekalian,
Sebagai mengakhirinya, saya sekali lagi menyatakan rasa sukacita dan gembira kerana berpeluang hadir bersama-sama pada Majlis jamuan yang meriah bagi memulakan tradisi Bandaraya ini. Saya berdoa mudah-mudahan segala usaha yang kita jalankan mendapat berkat dan mudah-mudahan Bandaraya yang kita kasihi ini akan terus maju memainkan peranannya sebagai Ibu Negara Malaysia yang moden, aman dan bahagia.