Tuan Yang Di pertua Persatuan Badminton Malaysia,1Y.B.Menteri-menteri, Saudara-saudara sekalian.
Terlebih dahulu, sukalah saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia atas usaha mereka mengadakan Kejohanan Badminton Belia ini. Saya merasa kesempatan ini satu penghormatan yang istimewa kerana dapat memulakan tugas tahun baru 1972 ini dengan satu acara khusus bagi belia-belia. Kita sama-sama berharap ini akan membawa natijah yang baik bagi masa depan negara dalam mana kauni belia memainkan peranan penting di semua bidang kehidupan.
Kita baru saja menjadi tuan rumah kepada Sukan SEAP di mana belia-belia kita telah menunjukkan kehandalan serta menaikkan martabat negara di bidang sukan. Berbanding dengan performance di tahun-tahun yang lepas, kita boleh berbangga dengan kemajuan-kemajuan yang dicapai baru-baru ini. Belia-belia kita, baik lelaki mahu pun wanita, telah mencatitkan rekod-rekod yang gilang gemilang terutama di lapangan olahraga di samping itu membolot pingat-pingat emas dalam Badminton.
Saya mengambil peluang ini mengucapkan pujian dan terimakasih kepada semua peserta kerana mengekalkan nama baik negara dan meninggikan prestige kita dengan kejayaan-kejayaan cemerlang itu.
Saudara-saudara sekalian,
Kejohanan Badminton Belia ini adalah satu langkah yang bijak dalam usaha membaiki mutu permainan Badminton. Barangkali tentulah tidak perlu saya katakan bahawa Badminton adalah kebangaan kita iaitu semenjak negara kita muncul sebagai juara Piala Thomas selama beberapa tahun.
Bagaimanapun, sudah menjadi kelaziman dalam hidup manusia, ada pasang dan surutnya. Boleh jadi semasa pihak-pihak lain berusaha dan bersungguh-sungguh memperbaiki serta meninggikan
mutu permainan mereka, kita telah menjadi agak complacent yang mengakibatkan kehilangan Piala itu dari tangan kita. Ini menjadi satu pengajaran bagi kita semua.
Saya suka menegaskan di sini, meskipun saya telah berkata berkali-kali kita janganlah cepat berpuas hati—complacent—terutama dalam usaha-usaha mencapai objektif negara. Matlamat dan cita-cita kita masih jauh dan dari itu saya berseru kepada kaum belia khasnya supaya mereka sentiasa dalam keadaan siap sedia menghadapi semua cabaran.
Untuk tahun-tahun akan datang ini, Kerajaan sedang menyusun langkah-langkah yang tegas dalam mana tenaga belia akan dilatih dan digerakkan—mobilised—untuk memenuhi keperluan-keperluan di segala lapangan. Saya telah mengarahkan supaya kegiatankegiatan belia buat masa depan kelak ditumpukan kepada latihanlatihan yang bermakna serta melengkapan mereka dengan kemahiran-kemahiran tertentu. Dengan demikian, mereka akan dapat mengambil peluang-peluang terbuka dalam bidang-bidang kegiatan ekonomi, samada pertanian, perniagaan atau perindastrian, mahupun menjalankan perusahaan sendiri.
Saudara-saudara sekalian,
Berbalik semula kepada Kejohanan Badminton ini, saya berharap dengan memberikan galakan-galakan seperti ini, kita akan melahirkan dan memupuk bakat-bakat baru yang boleh meninggikan prestige negara. Kita tidak harus bergantung kepada tokoh-tokoh lama yang ada, kerana satu hari mereka akan pergi dan mestilah diganti dengan bakat-bakat baru. Namun keahlian mereka dan pengalaman-pengalaman mereka yang masak itu patutlah pula diajar dan dipindahkan kepada angkatan baru yang diharap akan terus mengekalkan nama baik negara dan mereka sendiri.
Saya berharap Kejohanan Badminton Belia ini akan berjaya seperti yang dicita-cita dan dengan ini saya isytiharkan Kejohanan ini dimulakan.
- Y.B. Encik Mohd. Khir Johari.