Puan Yang Di Pertua Y.B. Datin Fatimah binti Haji Hashim, P.M.N. dan puan-puan yang hadir,

Saya ucapkan banyak terima kasih di atas kehormatan yang telah diberi oleh Puan Yang Di Pertua dan Jawatankuasa Perkumpulan Perempuan Persekutuan Tanah Melayu kerana menjemput saya hadir untuk membuka Persidangan pada pagi ini.

Apabila saya menerima jemputan ini sungguh pun saya merasa amat sukacita oleh sebab dapat peluang berjumpa dengan wakilwakil Persidangan Perkumpulan Perempuan seluruh Persekutuan
Tanah Melayu, akan tetapi saya berasa khuatir sedikit sama ada saya ada mempunyai cukup semangat dan keberanian berdiri di hadapan Perkumpulan puan-puan yang ramai pada pagi ini.

Saya berani berterus terang berkata bahawa saya terpaksa menegohkan semangat saya berdiri di sini pada pagi ini, kerana saya hanyalah biasa menghadapi seorang perempuan sahaja iaitu isteri
saya sendiri. Sungguh pun begitu saya tidak pernah menang dalam apa perbahasan mereka, oleh itu saya percaya puan-puan sekalian bersetuju bahawa seseorang berkehendakkan semangat dan keberanian yang sepenuhnya jika hendak menghadapi perkumpulan daripada pihak kaum Ibu yang ramai semacam ini terutama sekali jika difikirkan yang puan-puan ada beribu-ribu lagi kaum wanita di seluruh Tanah Melayu ini.

Seperti puan-puan sekalian maklum, kita di Tanah Melayu sekarang ini berada dalam zaman pembangunan negara iaitu zaman mengisi kemerdekaan yang telah dicapai semenjak enam tahun lamanya. Pihak Kerajaan Perikatan sentiasa menjunjung tinggi kepada pekerjaan-pekerjaan dan bahagian-bahagian yang boleh diambil oleh pihak kaum wanita di dalam pekerjaan membina negara kita ini. Oleh itu saya suka mengambil peluang mengucapkan setinggi terima kasih dan tahniah kepada puan-puan sekalian seterusnya pada semua kaum wanita di Persekutuan Tanah Melayu di atas kerjasama pertolongan yang telah diberi untuk melaksanakan Rancangan Kemajuan Kebangsaan kita. Puan-puan sekalian, saya merasa faham bahawa kuasa yang ada di dalam tangan puan-puan sangatlah besar kuasanya jika dibandingkan dengan kuasa tenteratentera negara kita dan jikalau puan-puan gunakan kuasa yang ada di dalam tangan puan-puan itu untuk kemajuan dan kebahagiaan negara kita, nescaya banyak faedah-faedah yang didapati oleh bangsa negara kita. Di dalam negara kita yang muda ini yang sedang menumpu sepenuh tenaganya menuju ke arah kemajuan dan kemakmuran mustahaklah kaum wanita dan kaum lelaki itu mara kehadapan bersama-sama. Oleh itu saya berseru dan berharap kepada puan-puan sekalian melalui Persekutuan Perkumpulan Perempuan ini dapat mengambil bahagian yang penting di dalam Rancangan Kemajuan kita bagi memperbaiki iktisad dan masyarakat bangsa kita.

Di dalam Rancangan Kemajuan Negara Kerajaan Persekutuan adalah berazam hendak memberi kemudahan-kemudahan kepada rakyat negeri ini terutama mereka-mereka yang duduk di Luar bandar di kampung-kampung baik kampung baharu atau pun kampung yang lama supaya dapat keadaan di kampung-kampung itu menjadi sempurna seperti keadaan di bandar-bandar. Kerajaan juga berazam hendak menolong rakyat di kampung-kampung membesar dan meluas mata pencarian masing-masing, supaya tiap-tiap orang itu mempunyai kehidupan yang sempurna dan mempunyai kehidupan yang sesuai dengan keadaan kita sebagai
negara yang merdeka. Semenjak tahun 1960 dalam Rancangan Kemajuan Luar Bandar, Kerajaan telah dapat membawa kemudahan-kemudahan seperti jalan-jalan raya, tempat-tempat berubat, bekalan air, masjid, surau-surau, balai-raya, sekolah-sekolah dan sebagainya. Kerajaan akan meneruskan rancangan ini supaya segala kehendak dan hasrat rakyat itu dapat dilaksanakan dan lagi Kerajaan telah mengambil langkah melalui beberapa pejabatpejabat Kerajaan mengadakan rancangan-rancangan untuk menolong rakyat di kampung-kampung bagi mendapat pengajaran lebih luas dan lebih sempurna daripada sekarang ini. Rancangan ini dinamakan Tingkatan Yang Kedua Rancangan Luar Bandar, iaitu sambil Kerajaan mengadakan kemudahan-kemudahan yang saya sebutkan tadi. Saya berseru kepada rakyat supaya bersama-sama
mengambil bahagian di dalam Rancangan Kemajuan untuk faedah mereka sendiri dan saya berseru kepada rakyat supaya mempunyai satn semangat baharu, semangat merdeka, semangat berani berjuang untuk kemajuan diri, bangsa dan negara dalam lapangan ini. Oleh itu dalam Tingkatan Yang Kedua Rancangan Luar Bandar inilah puan-puan sekalian ada mempunyai peranan yang penting bukan sahaja bagi memajukan dan mendesak suami-suami dan anak masing-masing untuk bekerja dengan lebih kuat, bahkan puan-puan sendiri mempunyai tanggungjawab bagi menolong kaum sejenis supaya dapat kita mengambil bahagian yang sepenuhnya Rancangan Kemajuan Negara kita ini.

Rancangan Kemajuan Negara ini tidak akan mendapat kejayaan yang sepenuhnya melainkan bersama-sama dapat diadakan di kampung-kampung cara kediaman yang lebih sempurna lebih bersih daripada hari ini di dalam kebersihan rumahtangga kaum wanitalah mempunyai peranan yang pertama sekali. Kerajaan berazam bersama-sama dengan Rancangan Pelajaran Dewasa hendak mengadakan pelajaran rumahtangga pada masa ini. Adalah lebih daripada 1,000 kaum wanita mempunyai dan mempelajari kelas-kelas dewasa baik di peringkat rendah atau pun di peringkat menengah dan dalam bulan Mac tahun ini bilangan akan bertambah lebih separuh lagi kepada mereka-mereka ini, saya berharap dapat diberi latihan dalam hal rumahtangga cara membersih rumahtangga, cara memasak barang-barang makanan yang lebih berzat dan
sebagainya. Saya berharap dan saya berseru kepada Persatuan Perkumpulan Perempuan supaya dapat memberi pertolongan dalam hal ini dan jikalau dipersetujui, saya suka menyerahkan tanggungjawab kepada Perkumpulan Perempuan bagi menjalankan-nya

Dengan menjalankan kelas-kelas ini dapatlah puan-puan sekalian bukan sahaja ajaran kepada kaum wanita kita di kampung, bahkan saya berharap dapat menanam di hati mereka semangat kemajuan, semangat kerjasama dan tenaga supaya kaum ibu semua yang ada kuasa yang sangat besar dapat berdiri di samping kaum lelaki dengan tegap di dalam pembangunan negara kita. Sukacita saya memberitahu bahawa pegawai-pegawai Kementerian saya bersamasama pegawai-pegawai Persatuan puan telah berunding di atas hal ini dan saya harap satu aturan kerja dapat dipersetujukan dan dijalankan dengan seberapa segera yang boleh. Tujuan pelajaran rumahtangga ini ialah pertama menggalakkan kaum wanita menunjukkan dan memeliharakan rumahtangga dalam keadaan yang bersih dan tenang. Yang kedua mengajar kaum wanita cara memasak yang lebih baik dan cara memasak makanan yang mempunyai zat yang tertentu. Yang ketiga mengajar kaum wanita kampung caranya membuat kain baju dan pakaian dan mempunyai semangat
jimat cermat bukan sahaja jimat cermat dalam perbelanjaan bahkan juga jimat cermat dalam menggunakan masa yang keemasan yang memberi faedah kepada kaum wanita supaya dapat mereka itu menjadi teratur serta warganegara yang berguna. Di sini saya tak menyebutkan cara hendak menjaga dan mendidik suami masingmasing kerana saya fikir dalam lapangan ini puan-puan sekalian adalah mempunyai pengalaman yang tak payah saya sebut untuk menambahkan pengetahuan puan-puan.

Jika didapatkan persetujuan Persatuan mengambil bahagian dalam latihan rumahtangga ini, saya menunggu pihak Rancangan Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan pihak Kerajaan akan memberi sepenuh pertolongan di atas hal ini. Akan tetapi, saya berharap pekerjaan-pekerjaan yang diperbaiki dapat dijalankan dengan cara sukarela dan perbelanjaan bagi menjalan perananperanan untuk kelas-kelas itu dan mengadakan buku-buku jika mustahak. Persatuan yang akan mengambil bahagian dalam hal ini, begitu juga bagi orang-orang yang menjalankan latihan ini, sungguhpun tidak mendapat gaji, tetapi perbelanjaan berjalan kerana menunaikan kewajipan masing-masing akan ditimbang oleh pihak Kerajaan.

Pada fikiran saya, inilah lapangan yang baik sekali bagi Persatuan puan dan ahli-ahli mengambil bahagian yang sepenuhnya dan saya berharap pekerjaan-pekerjaan dapat diaturkan dengan sempurna,
supaya tiap-tiap suatu itu diperbuat dengan tertib dan mendapat kejayaan dengan sepenuhnya.

Di dalam Rancangan Kemajuan Luar Bandar kita telah ditubuh di kampung-kampung, Jawatankuasa Kemajuan Kampung. Jawatankuasa ini adalah dikehendaki menjalankan usaha-usaha dan tenaga untuk memperbaiki kampung sendiri dan untuk menjalankan perusahaan-perusahaan bagi faedah penduduk-penduduk kampung di peringkat ini. Saya berharap kepada kaum wanita dapat mengambil bahagian mereka itu yang sempurna, iaitu mengadakan usahausaha dengan cara bersukarela bagi menjalankan apa juga pekerjaan ataupun perusahaan yang boleh memberi faedah kepada mereka sekalian, kepada rumahtangga dan kampung mereka itu. Penduduk di kampung-kampung baik kaum lelaki ataupun kaum wanita berkehendakkan didikan dan pimpinan yang jujur dan ikhlas dan di sinilah saya berharap kepada puan-puan sekalian akan memberi anjuran dan didikan yang saya sebutkan itu. Tujuan kita ialah satu sahaja untuk memperbaiki iktisad dan masyarakat rakyat di kampung-kampung. Kita hendak memperbaiki masyarakat bangsa kita bukan hendak mengadakan masyarakat. Tiap-tiap satu bangsa di dunia ini sudah ada mempunyai masyarakat masing-masing dan masyarakat yang ada pada kita hari ini, kita hendak memperbaiki supaya bersesuai dengan keadaan zaman dan sesuai dengan kemajuan yang kita kehendaki dalam negeri yang merdeka ini. Kita berazam hendak menanamkan semangat atau jiwa merdeka kepada tiap-tiap orang penduduk negeri ini baik lelaki ataupun perempuan dengan semangat dan jiwa baharu. Saya percaya dan Kerajaan Perikatan percaya kita akan dapat membina di negara Asia ini satu bangsa dan satu negara yang aman makmor.

Saya ucapkan kepada puan-puan sekalian selamat bersidang dan berjaya di dalam semua pekerjaan yang akan dijalankan.