SEGAMAT, 8 April 2025 – Seramai 111 orang Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dari seluruh daerah Segamat telah menyertai Bengkel Ilmu Bestari: Literasi Maklumat dan Jejak Digital yang berlangsung di Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1, UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat.
Program anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat dan Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran GPM dalam mengurus maklumat dan memanfaatkan teknologi digital dalam peranan mereka sebagai agen penyebaran ilmu di sekolah.
Bengkel bermula pada jam 9.00 pagi dengan sesi ice breaking oleh En. Faizul Azwan Jalil (Pembantu Pustakawan) yang berjaya menceriakan suasana dan mewujudkan hubungan mesra antara peserta. Seterusnya, slot “Jejak Digital: Tak Ada Idea, ChatGPT Kan Ado!” disampaikan oleh En. Ahmad Akmal Idris (Pustakawan Kanan) memberi pendedahan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam membantu tugas harian GPM. Slot kedua bertajuk “Literasi Maklumat” oleh Pn. Noredayu Rosli (Pustakawan Kanan) pula menekankan kepentingan penilaian sumber dan etika penggunaan maklumat secara berkesan.
Menariknya, bengkel turut diselitkan dengan aktiviti Treasure Hunt berkaitan pencarian maklumat yang dikendalikan oleh Pn. Noor Aniza Shahrina Johan Shah (Penolong Pegawai Pendidikan). Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan ilmu yang diperoleh secara praktikal.
Program yang berakhir sekitar jam 4.00 petang ini mendapat maklum balas yang sangat positif daripada semua peserta. Mereka menyifatkan bengkel ini sebagai platform bermanfaat yang memberi pendedahan baharu serta memperkukuh peranan GPM dalam mendepani cabaran dunia pendidikan digital masa kini.
Hebahan media sosial : media sosial