Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Program Kerjasama bersama Maktab Mahmud Merbok, Kedah

11 Jun 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menjalinkan kerjasama bersama Maktab Mahmud Merbok melalui penganjuran Program Bengkel Literasi Maklumat, Speed Reading dan Biblioterapi yang berlangsung pada 11 Jun 2025 (Rabu) bertempat di Maktab Mahmud Merbok, Kedah. Program ini melibatkan seramai 197 orang pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 dan berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.15 tengah hari.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam mencari maklumat secara berkesan, mempercepatkan keupayaan membaca serta menyemai nilai positif melalui pendekatan biblioterapi. Aktiviti yang dijalankan telah dibahagikan kepada tiga slot utama iaitu Bengkel Literasi Maklumat, Speed Reading dan Biblioterapi.

Slot Literasi Maklumat memberi penekanan kepada teknik pencarian maklumat secara digital dan beretika, manakala slot Speed Reading memperkenalkan teknik bacaan pantas untuk membantu pelajar membaca dengan lebih cekap dan efisien. Dalam slot Biblioterapi, pelajar diberi peluang meneroka bahan bacaan yang dapat membantu mereka mengurus tekanan emosi dan membina kesejahteraan mental.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah, yang turut menyatakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan bagi memperkasakan pembudayaan ilmu dalam kalangan pelajar sekolah. Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang program.

Program ini mencerminkan komitmen Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperluaskan khidmat ilmu ke luar kampus, seiring dengan aspirasi universiti untuk mendekati komuniti secara holistik.

 

 

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.