Monday, 21 Jamadilakhir 1446
Monday, 23 December 2024

Library News

Mesyuarat Jawatankuasa Budaya Ilmu Universiti Awam Fokus pada Strategi Berimpak dan Portal Budaya Ilmu

Mesyuarat Jawatankuasa Budaya Ilmu Universiti Awam Fokus pada Strategi Berimpak dan Portal Budaya Ilmu

SHAH ALAM, 7 November — Mesyuarat kali kedua Jawatankuasa Budaya Ilmu Universiti Awam telah diadakan hari ini dengan dipengerusikan oleh Ketua Pustakawan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Mesyuarat yang menghimpunkan wakil-wakil dari pelbagai Universiti Awam ini bertujuan untuk merangka strategi berimpak melalui Garis Panduan Pelaksanaan Program Budaya Ilmu. Garis panduan ini diharapkan dapat menyelaraskan standard pelaksanaan aktiviti budaya ilmu di institusi pengajian tinggi awam negara agar lebih mantap, berkualiti, dan berkesan.

Agenda utama turut membincangkan pembangunan Portal Budaya Ilmu, inisiatif penting yang akan diterajui oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM. Portal ini akan berfungsi sebagai platform rasmi bagi memaparkan pelbagai aktiviti budaya ilmu yang berlangsung di peringkat Universiti Awam, sekali gus memudahkan akses kepada maklumat terkini serta memupuk semangat kolaborasi antara institusi.

Selain sesi perbincangan, ahli mesyuarat dibawa melawat Koleksi Khas Jawi di UiTM dan diberi penerangan mengenai Repositori Persuratan Jawi, yang menyimpan dan memelihara bahan-bahan persuratan bernilai dalam tulisan Jawi. Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami lebih mendalam peranan UiTM dalam pemeliharaan warisan persuratan Jawi.

Mesyuarat ini diakhiri dengan komitmen para ahli untuk terus memperkukuhkan budaya ilmu di universiti masing-masing dan menyokong pembangunan Portal Budaya Ilmu yang diharapkan menjadi sumber rujukan utama di kalangan warga akademik dan masyarakat.

Foto di Facebook Ketua Pustakawan UiTM

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.