1 April 2025 | 12 Syawal 1446H | Shah Alam
Sasterawan Negara ke-13, SN Datuk Dr. Zurinah Hassan, hari ini mengadakan kunjungan istimewa ke Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Kunjungan tokoh tersohor dalam dunia kesusasteraan Melayu moden ini berlangsung sebagai praacara kepada Festival Budaya Ilmu yang akan diadakan pada 17 hingga 19 April 2025.
Dalam pertemuan ringkas tetapi penuh bermakna itu, SN Datuk Dr. Zurinah sempat berkongsi pengalaman penulisan dan perjalanan peribadi beliau sebagai penulis dan penyair prolifik tanah air. Kehadiran beliau disambut mesra oleh pihak perpustakaan dan warga kampus.
Sebagai tanda penghargaan, beliau turut menyumbangkan dua naskhah karya untuk koleksi khas Perpustakaan Tun Abdul Razak, sekali gus menambah nilai kepada khazanah ilmu yang dimiliki universiti.
Kunjungan ini turut menjadi pengenalan kepada penglibatan beliau dalam Festival Budaya Ilmu, di mana beliau dijadualkan menyampaikan perkongsian eksklusif kepada warga UiTM dan orang ramai.
Festival Budaya Ilmu merupakan platform tahunan anjuran perpustakaan dalam meraikan ilmu, budaya, dan kesusasteraan. Kehadiran tokoh terbilang ini dijangka memberi impak besar serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam menghargai dunia sastera.
SN Datuk Dr. Zurinah Hassan merupakan wanita pertama yang diangkat sebagai Sasterawan Negara, dikenali melalui karya-karya puitisnya yang menyentuh jiwa dan memperjuangkan nilai-nilai murni dalam masyarakat.
Warga UiTM dan pengunjung luar dijemput hadir ke Festival Budaya Ilmu minggu hadapan bagi mendekati lebih dekat figura hebat ini dan mengikuti pelbagai program ilmiah yang telah disusun.