Shah Alam, 20 Mei 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak Kejuruteraan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima lawatan audit akademik oleh Pemeriksa Luar bagi Program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian (CEEE223), yang diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Amran Mohd Rodzi dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada proses jaminan kualiti akademik bagi menilai dan memperkukuh pelaksanaan program pengajian di fakulti tersebut. Prof. Dr. Mohd Amran diiringi oleh lima orang pegawai daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik serta Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR Kejuruteraan (PKEJ), Norhamimi Binti Othman sepanjang sesi lawatan ke fasiliti dan kemudahan berkaitan.
Antara pengisian lawatan termasuk sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak perpustakaan berkenaan koleksi rujukan akademik, perkhidmatan yang ditawarkan, kemudahan sedia ada serta sistem sokongan perpustakaan yang digunakan dalam menyokong keperluan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan pelajar serta pensyarah FKE.
Lawatan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memastikan standard pendidikan tinggi sentiasa berada pada tahap terbaik, seiring dengan keperluan akreditasi dan penambahbaikan berterusan.