Kota Kinabalu, 26 Mac 2025 — Isu kesihatan mental dan pengurusan tekanan menjadi tumpuan dalam siri Wacana Ramadan Ar-Raudhah kali ini menerusi tajuk “Mental Health? Stress Perlu Diurus”, yang berlangsung petang tadi di Ar-Raudhah UHEI\@PTAR, UiTM Cawangan Sabah.
Sesi yang bersiaran langsung pada jam 5:00 petang melalui YouTube UiTM Sabah Channel ini menampilkan Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, sebagai panel utama.
Dalam perkongsian penuh informasi dan keprihatinan itu, Dr. Habibah menekankan bahawa tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan, namun perlu ditangani dengan bijak, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan yang seharusnya memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa.
“Bulan Ramadan adalah ruang terbaik untuk kita melatih pengurusan emosi, mengawal stres dan memperbaiki hubungan dengan diri serta Allah,” kata beliau sambil mengaitkan elemen kerohanian dengan kesejahteraan psikologi.
Beliau turut menekankan pentingnya sokongan sosial, empati sesama insan, dan amalan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan terhadap gangguan mental, khususnya dalam kalangan pelajar dan warga kampus yang sering berdepan tekanan akademik dan peribadi.
Wacana ini merupakan hasil kolaborasi antara Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), dan menjadi salah satu usaha proaktif dalam menyemarakkan Ramadan dengan pengisian ilmiah yang relevan dan bermanfaat kepada masyarakat kampus dan umum.
Melalui platform digital YouTube, sesi ini berjaya menarik penonton dari pelbagai latar belakang yang mendambakan pencerahan mengenai aspek mental dalam kerangka spiritual Islam.