13 Mac 2025 — Program Ramadan Talk Siri 2 yang berlangsung pagi ini di bawah inisiatif Program Ihya Ramadan telah membuka ruang renungan dan muhasabah diri menerusi tajuk "Ku Sempurnakan Ramadan" yang disampaikan oleh Ustazah Majidah Hassan, Penolong Pendaftar, Hal Ehwal Islam.
Bertempat di Ar-Raudhah UHEI\@PTAR, sesi ceramah yang bermula pada jam 8:30 pagi* itu menarik penyertaan warga kampus yang ingin menambah ilmu dan motivasi dalam menghayati Ramadan secara lebih menyeluruh. Ustazah Majidah menekankan tentang pentingnya merancang Ramadan dengan penuh kesungguhan agar ibadah bukan sahaja dilakukan secara rutin, tetapi dipenuhi dengan keikhlasan dan penghayatan.
Antara intipati penting yang diketengahkan termasuklah kepentingan istiqamah dalam ibadah, menyusun keutamaan amal soleh, dan menjaga hubungan sesama manusia sebagai penyempurna ibadah puasa yang sebenar. Beliau turut menyeru agar setiap individu menjadikan Ramadan ini sebagai titik tolak kepada perubahan diri yang lebih baik, bukan hanya sepanjang bulan mulia, tetapi berterusan sepanjang tahun.
Ceramah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dalam menyemarakkan kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan komuniti kampus, khususnya sempena kehadiran bulan penuh rahmat ini.
Ramadan Talk akan diteruskan dengan siri seterusnya yang dijangka membawa pelbagai topik menarik dan bermanfaat untuk memperkukuhkan penghayatan Ramadan secara holistik.