SEGAMAT, 23 April 2025 – Majlis Sambutan Hari Raya Perdana 2025 anjuran UiTM Cawangan Johor telah berlangsung dengan penuh kemeriahan dan warna-warni di perkarangan kampus Segamat. Majlis ini menjadi wadah istimewa untuk mengeratkan silaturrahim antara warga UiTM dari pelbagai jabatan dan bahagian dalam suasana Syawal yang penuh keberkatan.
Dalam majlis ini, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI) turut memainkan peranan penting apabila telah diamanahkan untuk menyediakan hidangan istimewa iaitu nasi lemak – juadah tradisional yang digemari ramai. Persiapan yang dilakukan mencerminkan semangat berpasukan serta komitmen tinggi seluruh warga PTDI yang berganding bahu memastikan penyediaan makanan berjalan lancar dan teratur.
Selain itu, pasukan persembahan PTDI juga telah menunjukkan bakat dan kreativiti tersendiri dalam pertandingan persembahan sempena majlis tersebut. Hasil usaha gigih dan semangat juang yang ditonjolkan, pasukan PTDI telah berjaya meraih hadiah saguhati sebagai pengiktirafan atas penyertaan mereka yang menghiburkan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dizahirkan kepada seluruh warga PTDI atas kerjasama padu, tenaga, dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan tugasan yang diamanahkan. Diharapkan semangat kekeluargaan dan kesepaduan ini akan terus menjadi pemangkin dalam menjayakan pelbagai lagi program komuniti UiTM di masa hadapan.
Pautan media sosial : media sosial