Kuala Lumpur, 26 Mac 2025 | 25 Ramadan 1446H – Alumni ITM, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Tuan Haji Rahman bin Mohd Din, menyerahkan naskhah Amanat Integriti dan Tatakelola: Malaysia Madani kepada Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dalam satu majlis penyerahan rasmi di Menara Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur, petang tadi.
Penyerahan naskhah ini dilakukan sejurus tamat Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bidang Kerjasama MoU IIM-UiTM, sebagai inisiatif memperkukuh sumber rujukan akademik berkaitan integriti dan tatakelola dalam kalangan warga UiTM.
Buku tersebut menghimpunkan 30 koleksi ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkaitan integriti dan tatakelola, yang telah dilancarkan di Angkasapuri pada 11 Mac 2025.
Majlis bersejarah ini turut dihadiri oleh barisan Pengurusan IIM serta wakil UiTM, termasuk Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), bersama delegasi dari Pusat Kokurikulum, Institut Kegiatan Pelajar, Unit Integriti, Perpustakaan Tun Abdul Razak, serta Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA).