12 Februari 2025 | 13 Syaaban 1446H
Kuala Lumpur - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) meneruskan usaha jalinan kerjasama strategik dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam satu lawatan rasmi ke Menara TH Perdana, Kuala Lumpur. Lawatan ini susulan kunjungan JKKN ke PTAR minggu lalu yang diketuai oleh Puan Zubariah Binti Abdullah, Pengarah Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk melihat lebih dekat pusat pengumpulan bahan, penerbitan, serta rujukan maklumat seni budaya yang diterajui oleh JKKN. Perkongsian ilmu ini memberi tumpuan kepada potensi JKKN dalam menguruskan maklumat berkaitan penerbitan dan seni budaya, serta memelihara kandungan maklumat berharga negara.
Selain itu, kedua-dua pihak turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik bagi meningkatkan impak strategi dalam pemeliharaan warisan budaya. Perbincangan juga menyentuh mengenai pengurusan taksonomi bidang seni yang memerlukan kepakaran khusus agar dapat dimanfaatkan dengan lebih meluas dan berkesan.
Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan serta memperluaskan jaringan strategik PTAR dengan agensi komuniti, sekali gus memperkasa perkongsian ilmu yang lebih versatil dan bermanfaat. Insya-Allah.