Sunday, 20 Jamadilakhir 1446
Sunday, 22 December 2024

Library News

Perpustakaan Tun Abdul Razak Bakal Jadi Hub Bahan Bacaan Braille Terbanyak di Malaysia

11 Jamadilakhir 1446H | 13 Disember 2024

SHAH ALAM – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM, kini berada di landasan untuk menjadi hub bahan bacaan braille terbesar di Malaysia. Inisiatif ini direalisasikan melalui penyerahan bahan bacaan braille hasil daripada Kempen Menyalin Bahan Bacaan: Projek Braillethon - Helaian Ilmu Membawa Cahaya, yang dianjurkan pada Jun lalu.

Majlis penyerahan rasmi ini diadakan bersempena Sambutan Hari OKU peringkat UiTM di Hotel Wyndham Acmar, Klang, petang tadi. Perasmian majlis disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir ialah YB Tuan Danial Al-Rashid bin Haron Aminar Rashid, Ahli Dewan Negeri Batu 3 merangkap Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), bersama-sama warga UiTM.

Menurut kenyataan rasmi UiTM, bahan bacaan braille ini akan ditempatkan di PTAR untuk manfaat komuniti universiti dan masyarakat umum. Langkah ini bertujuan memperkukuhkan fungsi perpustakaan sebagai pusat rujukan inklusif, yang menyediakan akses kepada ilmu tanpa halangan. Selain itu, ia juga akan memberi manfaat kepada penyelidik, pelajar, dan organisasi yang berkaitan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, menyifatkan usaha ini sebagai satu langkah signifikan dalam memastikan komuniti OKU tidak ketinggalan dalam menerima akses pendidikan.

Projek Braillethon Cipta Rekod Baharu
Kempen Menyalin Bahan Bacaan: Projek Braillethon, yang dianjurkan pada 9 hingga 10 Jun lalu di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, menyaksikan kerjasama antara Bahagian Perkhidmatan dan Pembangunan OKU UiTM, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Shah Alam, dan KL Braille Resources.

Program selama dua hari ini berjaya mensasarkan pengiktirafan dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori Most Books Digitized in a Program, dengan ratusan sukarelawan berganding bahu menyalin bahan bacaan ke dalam bentuk braille.

Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan perpustakaan sebagai pusat rujukan utama, tetapi juga mencerminkan komitmen UiTM terhadap prinsip inklusiviti dan keterangkuman, selaras dengan aspirasi negara untuk masyarakat yang lebih prihatin dan saksama.

“Ilmu membawa cahaya” – PTAR bakal menjadi pusat khazanah braille terbesar untuk manfaat seluruh negara.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.