8 Jamadilakhir 1446H | 10 Disember 2024
SHAH ALAM - Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM, terus memperkukuh peranannya dalam mendukung aspirasi universiti dengan menyambut lawatan delegasi Pejabat Transformasi Universiti semalam. Delegasi yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Nor Hayati Saad, Penolong Naib Canselor (Strategi), turut disertai PM Dr. Mohamad Fariz Mohamad Taib dan Dr. Nurul Aili Zakaria.
Sesi libat urus selama 60 minit ini dipimpin oleh YBrs. Tuan Ts. Hj. Azizi Bin Jantan, Ketua Jabatan Perpustakaan Tun Abdul Razak. Sesi tersebut turut disertai oleh pengarah-pengarah PTAR termasuk Encik Arshad bin Bujang, Encik Ahmad Amiri Bin Mohamad, Puan Aznur Umiza Binti Abu Kasim, Encik Ahamad Zuber Mohamed, dan Puan Nor Azwani Mohamad, Ketua Unit Dasar & Perancangan Strategik merangkap Penyelaras Strategik Transformasi Universiti (PSTU).
Acara ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus anjuran Pejabat Transformasi Universiti yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik antara jabatan utama universiti. Fokus kali ini adalah kepada peranan PTAR dalam menyokong pelan tindakan strategik UiTM 2030, khususnya untuk tempoh 2026-2030.
Dalam sesi tersebut, perbincangan tertumpu kepada pelan transformasi berimpak tinggi yang dirancang PTAR bagi menyumbang kepada matlamat universiti. Petunjuk prestasi utama (KPI) jabatan turut disemak bagi memastikan peranan perpustakaan dapat diperkasa menjelang tahun 2025.
YBrs. Tuan Ts. Hj. Azizi Bin Jantan menyatakan bahawa perpustakaan tidak hanya berfungsi sebagai pusat sumber ilmu, tetapi juga sebagai pemacu inovasi strategik yang menyokong aspirasi UiTM. "Kami bertekad untuk memastikan PTAR terus relevan dan mampu mencipta impak besar dalam mencapai matlamat universiti," tambahnya.
Sesi ini memperlihatkan komitmen PTAR untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyokong transformasi universiti yang holistik dan berimpak tinggi menjelang 2030.