Shah Alam, 18 Februari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima kunjungan seramai sembilan (9) orang delegasi dari Knowledge Management Centre (KMC), INCEIF University, yang diketuai oleh Encik Mohd Hasnol Mohd Yunus. Sesi lawatan ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam membangunkan galeri, arkib, dan repositori yang berkualiti, sejajar dengan keperluan institusi pendidikan tinggi.
Sepanjang sesi perkongsian, delegasi KMC mendapat pendedahan tentang tadbir urus serta pengurusan galeri yang berkesan, dengan meneliti model yang diterapkan di Galeri Tun Abdul Razak dan Galeri Tuanku Nur Zahirah. Melalui pengalaman luas dalam menerajui pengurusan galeri universiti, UiTM memberikan panduan komprehensif yang dapat membantu KMC merangka hala tuju strategik sebagai pusat informasi utama.
Matlamat yang jelas dalam pembangunan galeri dan arkib bukan sahaja memastikan keberkesanan ilmu yang disampaikan tetapi juga meningkatkan impak terhadap universiti serta komuniti. Dengan strategi yang tersusun, galeri berperanan sebagai pusat rujukan utama bagi pelbagai lapisan masyarakat, selain menyokong visi institusi sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan.
Sesi lawatan ini diakhiri dengan perbincangan interaktif yang membuka peluang kerjasama masa depan antara UiTM dan INCEIF University dalam bidang pengurusan maklumat, arkib, dan galeri universiti.