Machang, 30 Julai 2026 – Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Kelantan dan Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (PPPYIK) telah menganjurkan Program Talaqqi Kerohanian: Kitab Kuning Nusantara pada 30 Julai 2026, bertempat secara dalam talian melalui siaran langsung di saluran YouTube Perpustakaan Tengku Anis.
Program yang berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini diadakan bagi mengetengahkan kepentingan Kitab Kuning sebagai khazanah dan warisan keilmuan Islam di Nusantara, di samping membincangkan peranannya dalam membentuk tradisi keilmuan serta relevansinya dalam mendepani cabaran masyarakat masa kini.
Sesi perkongsian ilmu telah dipandu oleh Dr. Ahmad Murshidi Mustapha, Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Kelantan selaku moderator.
Program turut menampilkan dua panel jemputan berpengalaman dalam bidang keilmuan Islam, iaitu Dr. Mohd Nazri Mat Zin, Ketua Pusat Pengajian, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), serta Tuan Guru Abdul Razak Borhanuddin, Guru Turath, Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan.
Perbincangan yang diketengahkan memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai kedudukan Kitab Kuning dalam tradisi keilmuan Islam, khususnya di Nusantara, serta kepentingannya sebagai sumber ilmu yang terus relevan untuk dihayati dan difahami oleh generasi masa kini.
Penganjuran program ini turut mencerminkan komitmen Perpustakaan Tengku Anis dalam memperkasa budaya ilmu melalui program berbentuk kerohanian dan intelektual, selain membuka ruang kepada warga UiTM serta masyarakat umum untuk mendalami khazanah keilmuan Islam yang menjadi sebahagian daripada warisan tamadun Nusantara.
Diharapkan program seumpama ini dapat terus menyemarakkan budaya membaca, menuntut ilmu dan menghayati khazanah keilmuan Islam dalam kalangan warga UiTM serta masyarakat, di samping memastikan warisan ilmu yang berharga ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang