24 April 2026: Program Taklimat Modul Publication PRIMe telah berjaya dilaksanakan pada 17 Mac 2026, bermula jam 2.30 petang hingga 4.00 petang secara dalam talian. Taklimat ini bertujuan memberikan pendedahan dan kefahaman kepada para peserta mengenai penggunaan sistem PRIMe (Publication & Research Integrated Management System), iaitu platform utama bagi pengurusan data penyelidikan dan penerbitan di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Program ini merupakan anjuran Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Nur Dayana binti Mohd Narwawi, Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar selaku penceramah manakala Cik Hazlin binti Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) KUP, PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah bertindak sebagai fasilitator. Para peserta yang terdiri daripada pensyarah Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perak telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang program berlangsung. Sepanjang sesi, peserta telah didedahkan dengan pengenalan sistem PRIMe, kaedah log masuk dan navigasi sistem, pengurusan rekod penerbitan dan penyelidikan serta kepentingan pematuhan data bagi tujuan pelaporan universiti.
Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat membantu para pensyarah meningkatkan kecekapan dalam pengurusan maklumat penyelidikan secara sistematik dan bersepadu selaras dengan aspirasi kecemerlangan akademik UiTM. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya penceramah, fasilitator serta para peserta yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang cemerlang.




Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar